HEADLINES

Polis tembak mati 2 lelaki di Jitra, miliki lebih 40 rekod jenayah lampau

Polis turut menyiasat sama ada suspek-suspek ini terlibat dengan kumpulan penjenayah di Klang, Selangor

2:58 PM MYT

 

JITRA – Polis menembak mati dua lelaki disyaki penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di susur masuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, pada jam 8.05 pagi tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata sebelum kejadian, anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di sekitar kawasan itu terserempak dengan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu dalam keadaan mencurigakan lalu mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan.

“Suspek yang tidak memberikan kerjasama kemudiannya melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis sehingga berlaku berbalas tembakan dan menyebabkan kedua-dua lelaki itu maut di dalam kenderaan di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu telah menemukan dua pucuk pistol jenis revolver dan separa automatik, beberapa butir peluru hidup, sebilah parang dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata seorang daripada suspek yang berusia 41 tahun mempunyai lebih 40 rekod jenayah lampau manakala identiti seorang lagi lelaki masih belum diketahui berikutan tiada pengenalan diri.

“Kita percaya mereka terlibat dalam satu kumpulan besar yang melakukan jenayah kekerasan di seluruh negara, antaranya melibatkan kes pengedaran dadah, gangsterisme, pecah kilang dan samun. Kumpulan ini dipercayai mulai aktif sejak 2020.

“Setakat ini, Unit Foresik telah menjumpai tiga kelongsong peluru di lokasi kejadian dan mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

Kes ini maklumnya disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus yang turut ke lokasi kejadian berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai sebahagian daripada kumpulan yang terlibat dengan pelbagai jenayah berat.

“Kita sedang siasat sama ada suspek-suspek ini terlibat dengan kumpulan penjenayah di Klang, Selangor. Kumpulan berkenaan dipercayai mempunyai lebih 30 ahli dan polis akan mengambil tindakan lebih agresif,” katanya.

Pada 20 Jun lalu, Ketua Polis Daerah Klang Utara S. Vijaya Rao mengesahkan seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun ditemukan mati dalam keadaan mengiring di tempat pemandu sebuah kereta dipercayai ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah kedai di Meru. 

Ini merupakan kejadian ketiga berlaku dalam bulan ini di Lembah Klang melibatkan kes tembakan.

Kes pertama berlaku pada 14 Jun lalu di Brickfields. Dalam kejadian itu, tiga lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun sedang makan bersama beberapa rakan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.

Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan, manakala dua lagi mangsa menerima rawatan di PPUM.

Manakala pada Selasa, dua lelaki maut selepas dipercayai ditembak sekumpulan individu di luar pekarangan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, awal pagi. – 5 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Related