HEADLINES

Himpunan aman bebaskan kehakiman: PDRM tingkat kawalan dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri

Polis menjangkakan perarakan akan disertai sekitar 200 peserta sebelum serah memorandum kepada wakil PMO

12:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad mengesahkan ada menerima permohonan Badan Peguam Malaysia berhubung penganjuran perarakan dan perhimpunan membela kebebasan kehakiman yang bakal berlangsung di Putrajaya, Isnin ini.

Beliau berkata permohonan itu telah dikemukakan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Rabu lalu.

“Pihak polis sudah berjumpa dengan penganjur dan menasihatkan agar tidak melanggar apa-apa peraturan atau kesalahan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan 105 pegawai dan anggota untuk mengawal keselamatan di sekitar Istana Kehakiman dan jalan menuju ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya serta kawasan sekitarnya pada hari perhimpunan tersebut.

“Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan awam dan ketenteraman terjamin,” katanya yang menasihati orang ramai agar mematuhi undang-undang ketika menyertai perhimpunan aman.

Mohamed Usuf berkata polis akan memantau, membantu perjalanan dan mengawal lalu-lintas bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjaga sepanjang perhimpunan berlangsung.

“Berdasarkan maklumat, perarakan ini akan bermula di Istana Kehakiman, Putrajaya sehingga penyerahan memorandum kepada wakil dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya,” katanya.

Tambah Mohamed Usuf, pihaknya meramalkan perarakan ini akan disertai sekitar 200 peserta.

Terdahulu, Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab dalam satu kenyataan menegaskan perarakan esok adalah tindakan yang sah dari sisi undang-undang, aman dan bersifat simbolik dalam melaksanakan tanggungjawab sivik.

“Ia mencerminkan komitmen teguh profesion guaman dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, doktrin pengasingan kuasa, dan kedaulatan undang-undang.

“Ia adalah kenyataan kolektif bahawa kebebasan Badan Kehakiman bukan sesuatu yang boleh dirunding, dan Badan Kehakiman mesti dilindungi daripada sebarang pengaruh luar, sama ada bersifat politik, badan Eksekutif, atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, perarakan itu bukan semata-mata untuk peguam sebaliknya ia adalah perarakan untuk Badan Kehakiman, Badan Peguam Malaysia dan setiap rakyat Malaysia yang menghargai keadilan.

“Apabila kebebasan Badan Kehakiman menjadi rapuh, seluruh negara menanggung akibatnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, satu dokumen didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang berlangsung pada Mei lalu bocor di media sosial.

Petikan itu dipercayai berasal dari laman Reddit, namun kini turut tersebar di Facebook dan X.

Minit mesyuarat sulit itu dikatakan mengandungi dakwaan sama seperti laporan polis yang bocor sebelum ini, yang dibuat bagi pihak seorang hakim kanan pada Jun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin, meluahkan rasa terkejut berhubung kebocoran dokumen tersebut.

“Gila ! Kalau betullah isi dokumen ni..” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dilapor berkata, meskipun kesahihan dokumen itu belum dapat dipastikan, dakwaan yang terkandung adalah sangat serius.

“Pihak kerajaan harus menjawab dan siasatan perlu dilakukan,” tegasnya. – 13 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related