◉ HEADLINES

Program songsang e-Hati: JAIS panggil dua saksi baharu beri keterangan esok

Mohd Na’im berkata sebelum ini dua wanita yang merupakan saksi awal telah membuat aduan kepada Bahagian Penyelidikan JAIS

6:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memanggil dua saksi baharu untuk memberi keterangan esok berhubung program motivasi rumah tangga e-Hati yang dikatakan mengandungi unsur lucah dan penyebaran fahaman meragukan bagi membantu siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Setakat ini, saya boleh maklumkan siasatan telah dimulakan dan kita harap saksi-saksi ini akan hadir esok,” katanya selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Mohd Na’im berkata sebelum ini dua wanita yang merupakan saksi awal telah membuat aduan kepada Bahagian Penyelidikan JAIS.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh Bahagian Penguatkuasaan, kedua-dua pengadu ini dilihat agak keberatan (reluctant) untuk tampil dan memberikan maklumat kepada pihak JAIS. Jadi, saya harap supaya kita dapat perjelaskan isu ini dan semua orang boleh faham dan kebenaran itu dapat dizahirkan.

“Amat penting untuk pihak-pihak yang menjadi saksi tampil ke depan bagi membantu Bahagian Penguatkuasaan JAIS menjalankan siasatan secara profesional, supaya tiada mana-mana pihak yang dizalimi,” katanya.

Beliau berkata Bahagian Penguatkuasaan JAIS turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM yang akan meneliti kes tersebut daripada sudut kesalahan di bawah undang-undang sivil. 

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak yang mempunyai maklumat supaya tampil memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Saya harap sangat mereka yang terlibat dan mempunyai maklumat tampil ke depan untuk membantu memberikan maklumat yang benar kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS, supaya isu ini dapat dirungkai dengan sebaik-baiknya dan secara adil-adilnya,” katanya.

Terdahulu, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program motivasi e-Hati yang diusahakan oleh sepasang suami isteri yang dikatakan mengandungi unsur jelik dan fahaman meragukan.

Dalam hantaran terbaharu di laman Facebook pengguna terbabit, beliau mendakwa dua wanita telah melakukan tarian bogel dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam.

Peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh singkat dan peserta turut diarahkan melakukan upacara ‘mandi suci’ dan ‘kelahiran semula’ yang menyerupai ritual keagamaan lain. – 14 Julai, 2025

Topics

 

◉ Hangat

I recommended the seven heritage players: Tengku Muda Pahang

Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah said the footballers were recommended to the Football Association of Malaysia (FAM) through proper channels with the genuine intention of strengthening the national team

Home Ministry’s 6 banned books mostly young adult romances, 3 of them LGBT-related

Ministry says bans are a 'preventative action' against harm from content it deems unsuitable for public consumption.

Pas sacks three Perlis assemblymen over alleged mutiny against MB

The party expels Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail, and Mohd Ridzuan Hashim following their submission of statutory declarations against the Menteri Besar’s leadership

◉ Related