HEADLINES

Majlis Raja-Raja dijangka umum Ketua Hakim Negara baharu hari ini

Menurut Perdana Menteri ia akan membuktikan bahawa Kerajaan Madani komited kepada reformasi termasuk prinsip kebebasan kehakiman

8:29 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Majlis Raja-Raja dijangka akan mengumumkan pelantikan Ketua Hakim Negara hari ini.

Perkara itu disahkan Perdana Menteri yang telah mengadakan pertemuan dengan Majlis Raja-Raja pagi semalam.

“Pagi tadi (semalam) saya telah mengadakan perbincangan panjang bersama Majlis Raja-Raja, dan saya fikir biarlah mereka yang memutuskan.

“Insya-Allah esok (hari ini) akan ada pengumuman yang jelas akan menolak segala persepsi negatif tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Tadbir Urus dan Integriti 2025 di Putrajaya, semalam.

Perdana Menteri turut mengambil maklum kebimbangan berhubung isu kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara serta persepsi negatif berhubung isu berkenaan.

“Tanggapan bahawa beberapa pelantikan bagi jawatan penting dalam badan kehakiman mungkin seolah-olah terjejas atau dicemari.

“Ada calon-calon yang dikatakan dipersoalkan atau diragui oleh sesetengah pihak tetapi saya memberi jaminan bahawa perkara ini tidak berlaku.

“Dan nama-nama yang dipersoalkan, atau kelihatan mencurigakan, tidak pernah pun dibawa untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja.

“Jadi saya tutup perkara ini, dan saya harap, insya-Allah, apabila pengumuman dibuat nanti, ia akan membuktikan bahawa Kerajaan Madani komited kepada reformasi termasuk prinsip kebebasan kehakiman,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan tidak pernah berbincang mengenai sebarang kes dengan mana-mana hakim demi memastikan prinsip kebebasan kehakiman kekal dipertahankan.

Anwar berkata beliau pernah berbincang dengan mana-mana hakim mengenai sebarang kes, sama ada dengan Ketua Hakim Negara mahupun hakim-hakim lain.

“Saya kekal memegang prinsip kebebasan kehakiman,” tegasnya. – 16 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Malaysia tightens social media rules with eKYC: Fahmi

MCMC set to enforce minimum age of 16 for new accounts; enforcement date to be announced soon

Selangor 80% ready for Sukma 2026, key venues must be ready by April: Najwan

The Selangor youth, sports and entrepreneurship committee chairman says the state is targeting full readiness by April

SPA targets 30,000 civil service appointments in 2026

Chairman Ahmad Jailani says new target exceeds last year’s 25,000, ensuring continuity in public service delivery

Related