HEADLINES

Pengumuman PM: Rangsangan fiskal ‘kecil-kecilan’ untuk kestabilan dasar fiskal jangka panjang

Penganalisis berkata dasar fiskal negara dilihat sedang digembleng secara strategik untuk menyokong permintaan domestik sambil mengekang ketirisan kewangan

12:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengumuman khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini membawa mesej jelas bahawa kerajaan tidak hanya fokus kepada kelegaan jangka pendek kepada rakyat dalam menangani kos sara hidup.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, inisiatif itu juga dilihat usaha kerajaan untuk mengekalkan kestabilan fiskal negara dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, melalui dua langkah utama iaitu bantuan tunai one-off RM100 kepada semua rakyat dewasa dan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter menerusi subsidi bersasar September nanti, dasar fiskal negara dilihat sedang digembleng secara strategik untuk menyokong permintaan domestik sambil mengekang ketirisan kewangan.

“Pengumuman ini menunjukkan kerajaan sentiasa mencari jalan untuk membantu rakyat terutama dalam menyelesaikan masalah kos sara hidup.

“Langkah pemberian bantuan tunai RM100 melibatkan suntikan langsung kepada lebih 20 juta rakyat Malaysia, dengan jumlah peruntukan sekitar RM2 bilion.

“Ini satu bentuk rangsangan fiskal ‘kecil-kecilan’ yang disasarkan cukup untuk memberi sedikit ruang bernafas kepada rakyat, tanpa terlalu membebankan belanjawan negara.” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata, bantuan yang diberikan juga merupakan sebahagian daripada strategi fiskal seimbang — membantu rakyat secara bersasar, sambil mengekalkan keupayaan kerajaan untuk terus melabur dalam masa depan negara.

“Pengumuman penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, tetapi hanya untuk rakyat Malaysia, merupakan langkah peralihan kepada subsidi bersasar yang sudah lama dirancang.

“Pendekatan ini diyakini dapat mengurangkan beban subsidi yang selama ini turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

“Kerajaan tetap komited memastikan disiplin kewangan itu dapat diteruskan supaya ruang dasar fiskal dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman bantuan ini juga berlaku dalam konteks dasar monetari longgar apabila Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75%.

“Kombinasi dasar fiskal (perbelanjaan kerajaan) dan dasar monetari (kadar faedah rendah) dilihat sebagai pendekatan “twin-engine strategy” bagi merangsang pertumbuhan dalam suasana ekonomi global yang perlahan.

“Jadi dasar fiskal dan monetari sudah digembleng untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kekal stabil berikutan kebimbangan terhadap faktor luaran

“Terutamanya situasi kejutan tarif Amerika Syarikat dan ketidaktentuan situasi geopolitik yang boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif utama bertujuan meredakan kos sara hidup dan membantu rakyat melalui tempoh peralihan ekonomi struktur.

Antara langkah utama ialah bantuan tunai RM100 secara one-off untuk setiap warganegara dewasa, yang disalurkan melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Anwar berkata kredit RM100 — berkuat kuasa 31 Ogos hingga 31 Disember — boleh dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan di lebih 4,100 cawangan di seluruh negara. Ia akan memanfaatkan kira-kira 22 juta individu, menjadikan jumlah peruntukan SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM15 bilion tahun ini.

Harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter apabila subsidi bersasar bermula pada September. Dijangka memberi manfaat kepada 18 juta pemandu dan penunggang motosikal, termasuk golongan belia dan pekerja gig.

Kenaikan kadar tol yang dijadualkan untuk 10 lebuh raya telah ditangguhkan, menjimatkan lebih RM500 juta orang ramai.

Selain itu 85% pengguna domestik akan menyaksikan pengurangan sehingga 14% dalam bil elektrik untuk penggunaan Julai 2025, berbanding separuh pertama tahun ini. – 26 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Is it costly for small businesses to obtain halal certification?

A restaurant owners’ group agrees it can be, while application guidelines show fee is not high but added costs lie in the process to achieve compliance

Related