KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi membangkitkan keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan ke atasnya berhubung isu Pulau Batu Puteh pada Himpunan Turun Anwar, hari ini.
Menurut bekas Perdana Menteri yang baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-100, Anwar bukannya hakim dan tidak berhak menentukan siapa yang bersalah.
Beliau berkata, Perdana Menteri atau Kabinet tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan berkenaan.
“Negara kita mempunyai mahkamah, hakim dan pendakwa raya tetapi Anwar tidak gunakan mahkamah atau hakim atau pendakwa raya.
“Dia mengangkat dirinya sebagai hakim dan buat keputusan saya salah, kononnya tak jaga Pulau Batu Puteh.
“Kalau saya salah, bawa ke mahkamah la. Mahkamah boleh sahkan. Awak bukan hakim, tiada hak tentukan siapa salah. Hakim akan tentukan sama ada saya salah atau tidak,’’ katanya ketika berucap pada Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka, hari ini.
Baru-baru ini, Anwar berkata Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh yang dibangkitkan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atas faktor usia yang sudah lanjut.
Menurut Anwar, meskipun beliau percaya kesalahan itu wujud dan besar, namun Jemaah Menteri tidak mengambil tindakan memandangkan Dr Mahathir sudah berusia 100 tahun.
Dalam ucapannya itu juga, Dr Mahathir turut menyentuh mengenai bantuan RM100 one off yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun sebagai sedikit.
“100 ringgit satu tahun. Saya pun dapat 100 ringgit. Nak bagi pada orang miskin pun jangan bagi 100 ringgit, bagi la banyak sikit. Satu hari dapat 40 sen, nak buat apa. Secawan kopi boleh la,’’ katanya.
Sementara itu, pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada himpunan itu membangkitkan mengenai harga minyak, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta rasuah.
Menurutnya, meskipun Anwar kawan baiknya dulu, namun keadaan sekarang adalah melibatkan soal negara dan rakyat.
“SST dulu 2,000 senarai barang, sekarang sudah ditambah kepada 4,000 senarai. Sekarang dah jadi 6,000 senarai.
“Zaman berzaman tak ada kena cukai, tetapi sekarang kita kena bayar. Ini tindakan yang dikatakan zalim,’’ katanya.
Beliau turut memberikan contoh majlis perkahwinan di mana dewan, kerusi dan baju pengantin yang disewa turut dikenakan SST.
“Kerusi pun dicukaikan….sedih saya nak cakap. Tindakan ini sudah dilaksanakan 1 Julai lalu, ada kata nak batal ke….tak ada,’’ katanya. – 26 Julai, 2025.
