KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan fakta sampah 20 tan yang ditinggalkan oleh peserta Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu, adalah berdasarkan laporan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Ketika menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN – Pendang), Kor Ming memberitahu, kerajaan menjulang prinsip demokrasi dan mengalu-alukan perhimpunan aman namun ia wajib menjaga kebersihan.
“Yang dikatakan sampah 20 tan itu bukan dari saya, itu laporan dari SWCorp yang saya terima dari lapangan sehingga ratusan pekerja kita dikerah untuk membersihkan sampah selepas perhimpunan baju hitam.
“Saya tidak nafikan ada ada sekumpulan anggota Unit Amal bantu bersih sampah, saya ucapkan terima kasih tapi tidak boleh dinafikan juga 20 tan sampah bersepah di Sogo, di Dataran Merdeka dan di Jalan petaling.
“Itu adalah laporan SW Corp,’’ katanya semasa sidang Dewan Rakyat hari ini.
Pembangkang sebelum ini menyifatkan laporan mengenai sampah 20 tan yang ditinggalkan oleh peserta Himpunan Turun Anwar sebagai tidak masuk akal kerana laporan polis menyatakan perhimpunan berkenaan disertai 18,000 peserta.
Justeru jika 20 tan sampah ditinggalkan, maka ia menunjukkan jumlah peserta yang hadir adalah melebihi 18,000 orang.
Bagaimanapun Awang berkata laporan berkenaan tidak benar dan menyifatkan ia sebagai bohong. Beliau turut meminta bukti bahawa sampah yang ditinggalkan peserta himpunan itu adalah sebanyak 20 tan.
“Jawapan bohong, tipu. Menteri 20 tan menipu, DAP,’’ katanya.
Bagaimanapun Kor Ming memberitahu jika Awang tidak mahu mendengarnya maka beliau tidak perlu bertanyakan soalan.
Jelas Kor Ming, pekerja pembersihan telah bekerja sehingga larut malam untuk membersihkan kawasan berkenaan.
Semalam, Nga Kor Ming berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada agensi pembersihan awam, sebanyak 20 tan sampah telah ditinggalkan merata-rata oleh peserta perhimpunan berkenaan.
“Saya terpaksa mengarahkan seluruh pasukan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) melakukan kerja-kerja pembersihan, dan mereka lakukan hingga larut malam,’’ katanya.
Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu diadakan di sekitar Dataran Merdeka yang disertai pemimpin utama pembangkang seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Takiyuddin Hasan selain kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Polis Kuala Lumpur menganggarkan seramai 18,000 orang menyertai perhimpunan berkenaan. – 28 Julai, 2025
