KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pelarasan tarif air baharu di Selangor mulai 1 September ini akan membolehkan syarikat berkenaan membuat pelaburan berterasan bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada 9.62 pengguna.
Dalam kenyataannya, Air Selangor memberitahu, sebagai penyedia perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, syarikat berkenaan mengambil maklum pengumuman pelaksanaan kadar tarif air baharu berkuatkuasa 1 September oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Sebagai penyedia perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, pelarasan tarif bekalan air baharu ini membolehkan Air Selangor membuat pelaburan berterusan bagi membina daya tahan dan kelestarian air, sekaligus memastikan kelangsungan perkhidmatan bekalan air demi kesejahteraan 9.62 juta pengguna kami,’’ katanya.
Menurut Air Selangor, ia akan memastikan pengguna menerima maklumat yang tepat sepanjang pelarasan tarif ini dilaksanakan.
Air Selangor merupakan penyedia perkhidmatan bekalan air terbesar di negara ini yang menyalurkan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Semalam, Kerajaan Selangor memutuskan bahawa caj air bagi pengguna domestik yang menggunakan sehingga 20 meter padu sebulan kekal pada kadar sedia ada, iaitu 65 sen bagi setiap meter padu.
Amirudin berkata, ini bermaksud tiada peningkatan kerana kadar itu telah diselaraskan pada Februari 2024, sekali gus caj minimum RM6.50 turut kekal bagi pengguna domestik.
Beliau berkata, pelarasan tarif air dibuat berdasarkan kadar caj yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), selepas Jemaah Menteri meluluskan pelarasan tarif air baharu bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan susulan permohonan yang dikemukakan oleh negeri-negeri atas keperluan untuk mengukuhkan perkhidmatan air terawat kepada rakyat dan industri.
Bagi rumah-rumah yang menggunakan lebih daripada 35 meter padu sebulan, atau bersamaan dengan 35,000 liter, kadar caj baharu akan berubah sebanyak RM0.88/meter padu kepada RM3.51 bagi setiap meter padu yang melebihi 35 m³.
Untuk kategori kondominium, kuarters estet dan kuarters kerajaan, caj baharu akan meningkat sebanyak RM0.41/meter padu kepada RM2.09 bagi setiap meter padu air.
Untuk ruang komersial serta bangunan bukan domestik akan menyaksikan peralihan kadar caj pada kadar yang sama dengan pengguna domestik melebihi 35 meter padu, iaitu RM3.51/meter padu, peningkatan sebanyak RM0.57 bagi setiap meter padu.
Penggunaan melebihi 35 meter padu pula akan dikenakan caj sebanyak RM3.83 bagi setiap meter padu melebihi 35 meter padu.
Bagi industri perkapalan pula, katanya kadar caj baharu akan beralih sebanyak RM0.93/meter padu kepada RM8.01 bagi setiap meter padu, mengambil kira penggunaan air yangsemakin meningkat dalam industri itu.
Amirudin berkata untuk pusat data, kerajaan negeri menerima keputusan Jemaah Menteri untuk mengenakan kadar sebanyak RM5.31/bagi setiap meter padu penggunaan air oleh pusat-pusat data. – 2 Ogos, 2025
