KUALA LUMPUR – Selepas hampir lima tahun kes saman fitnah dan buli siber difailkan, seorang wanita berusia 49 tahun dimaklumkan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru bahawa dakwaannya mengenai fitnah adalah berasas, namun kesnya ditolak disebabkan kecuaian dari segi prosedur.
Ini kerana kenyataan fitnah yang didakwa dalam penyataan tuntutannya tidak diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu, seperti yang dikehendaki oleh peraturan mahkamah.
Wanita itu, Shanti Gopalan yang juga bekas pengurus sebuah kondominium, memulakan tindakan undang-undang pada Januari 2021, mendakwa seorang penduduk, Looi Kim Lean mengganggunya secara berulang kali melalui emel dan platform media sosial yang digunakan oleh pemilik apartmen.
Menurut penyataan tuntutannya, pertikaian bermula apabila Looi datang ke pejabat Shanti untuk mengadu mengenai dasar lawatan tetamu dan pendaftaran tetamu kondominium.
Shanti menjelaskan bahawa permintaan Looi berada di luar bidang kuasanya, namun Looi dikatakan marah dengan penjelasan tersebut.
“Plaintif telah menjelaskan peranannya yang terhad dalam struktur pengurusan namun defendan enggan menerima penjelasan tersebut dan berasa marah dengan cara plaintif menjawabnya.
“Tingkah laku defendan dikatakan semakin melampau sehingga plaintif berasa terancam dan tiada pilihan selain menghubungi polis. Sebagai langkah berjaga-jaga, plaintif telah membuat laporan polis untuk mendokumentasikan perlakuan defendan dan melindungi keselamatannya sendiri.
“Selepas kejadian itu, defendan didakwa memulakan kempen fitnah berterusan terhadap plaintif, dengan membuat kenyataan palsu dan memudaratkan di pelbagai platform media sosial dari Disember 2019 hingga November 2020,” demikian menurut dokumen mahkamah.
Dalam tuntutannya, Shanti mendakwa kenyataan-kenyataan Looi yang dimuat naik di aplikasi media sosial kondominium dan dihantar melalui emel kepada beberapa penerima termasuk pemaju kondominium SP Setia telah menggambarkan dirinya sebagai tidak cekap, tidak profesional dan berperwatakan diragui.
Antara perkataan yang didakwa digunakan termasuk memanggilnya “tidak tahu apa-apa” tentang kerjanya, “gila” atau “mereng,” dan “tergila-gilakan lelaki.” Shanti mendakwa kenyataan tersebut telah menyebabkan dirinya dihina dan mencemarkan reputasi profesionalnya.
Menuntut ganti rugi sebanyak RM250,000, Shanti menyifatkan tindakan Looi sebagai satu bentuk buli siber dan mendakwa ia adalah sebahagian daripada kempen yang disengajakan untuk menjatuhkan maruahnya.
Looi menafikan dakwaan tersebut dan memfailkan tuntutan balas dengan mendakwa Shanti telah memfitnahnya semasa pertengkaran di pejabat pengurusan pada 5 Disember 2019.
Semasa pemeriksaan balas, Looi mengaku menulis beberapa kenyataan yang didakwa memfitnah dan cuba mempertahankan penggunaan kata-kata tersebut.
“Fitnah telah terbukti secara jelas. Defendan mengaku menulis dan menyebarkan 47 kenyataan jahat dan berterusan melalui emel, WhatsApp dan aplikasi komuniti, yang menyasarkan watak, kredibiliti dan kecekapan plaintif,” kata peguam Shanti, Mavin Rajah kepada Scoop.
“Namun pihak pembelaan membangkitkan bantahan prosedur di penghujung perbicaraan, selepas semua saksi memberikan keterangan.
“Mereka berhujah plaintif gagal menyediakan terjemahan bahasa Melayu bagi kenyataan-kenyataan yang didakwa fitnah itu,” jelas Mavin.
Merujuk kepada peraturan mahkamah yang menghendaki dokumen ditulis dalam bahasa Melayu, pihak pembelaan berhujah bahawa kecuaian ini cukup untuk menyebabkan saman ditolak.
Keputusan ini sejajar dengan satu penghakiman Mahkamah Rayuan pada 14 Julai lalu, yang menolak saman fitnah bernilai RM100 juta oleh bekas hakim Mahkamah Sesyen, Mabel Sheela Muthiah terhadap wartawan Clare Rewcastle Brown atas alasan yang sama.
Seminggu kemudian, Mahkamah Sesyen Johor Bahru menggunakan alasan yang sama dalam kes Shanti.
Dalam penghakiman yang disampaikan melalui e-Review pada 21 Julai, mahkamah mengakui Shanti telah membuktikan kenyataan Looi adalah fitnah dan merosakkan reputasinya.
Namun mahkamah memutuskan ketiadaan terjemahan bahasa Malaysia terhadap kenyataan yang dipertikaikan dalam dokumen mahkamah merupakan kecacatan prosedur yang membawa kepada penolakan saman.
“Pada awalnya, semua pihak bersetuju bahawa perbicaraan akan dijalankan dalam bahasa Inggeris.
“Bantahan prosedur oleh pihak pembelaan tidak pernah dibangkitkan sepanjang perbicaraan dan hanya diketengahkan pada penghujungnya.
“Pada pandangan saya, terdapat pematuhan yang mencukupi oleh pihak plaintif dalam kes ini. Tiada kekeliruan, tiada kerugian, dan tiada prasangka terhadap pihak defendan.
“Pihak pembelaan memahami tuntutan, menyertai perbicaraan sepenuhnya, dan mempertahankan dirinya berdasarkan merit,” kata Mavin.
Walaupun mahkamah mengakui berlakunya fitnah, Mavin mengesahkan anak guamnya tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana beliau ingin menutup ‘buku’ selepas lima tahun melalui proses perundangan.
Namun, Mavin menyatakan harapan agar Mabel Sheela Muthiah akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan untuk memperjelas peraturan prosedur yang diperlukan dalam kes fitnah.
“Dalam era di mana fitnah dalam talian dan buli siber semakin meningkat, undang-undang harus menumpukan kepada isi kandungan, bukan bentuk, terutama apabila reputasi, mata pencarian, dan maruah dipertaruhkan.
“Mahkamah tidak seharusnya terperangkap dalam belantara teknikal, sebaliknya perlu menyampaikan keadilan berdasarkan isi dan merit. Peraturan prosedur adalah alat, bukan halangan,” kata Mavin. – 3 Ogos 2025

