◉ HEADLINES

PAS sedia jalin kerjasama MIC, MCA bawah PN

Mursyidul Am PAS berkata parti tidak ada mempunyai masalah menjalin kerjasama itu dengan pelbagai parti kecuali DAP

10:21 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – PAS terbuka untuk bekerjasama dengan MIC dan MCA dalam Perikatan Nasional (PN) namun ia perlu dibincang lebih lanjut oleh kepimpinan tertinggi gabungan, kata Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin.

Beliau berkata parti itu secara dasarnya tidak mempunyai masalah menjalin kerjasama itu dengan pelbagai parti kecuali DAP.

“Ke arah kerjasama tersebut menjadi kenyataan bagaimana memerlukan perbincangan lebih lanjut di peringkat tertinggi kepemimpinan,” katanya, memetik laporan Utusan Malaysia.

Jelasnya lagi, gabungan itu terbuka menerima parti-parti lain bagi mengukuhkan lagi kerjasama untuk berdepan PRU16 akan datang.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata parti itu berasa tidak dihargai kerana tidak diberi sebarang jawatan dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun mempunyai pemimpin kanan.

Menurut beliau MIC akan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya selepas mesyuarat agung tahunan pada Oktober.

Semalam, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Dr Balachandran Gopal Krishnan mengingatkan bahawa MIC pernah bersama mereka semasa pentadbiran lepas, lalu menyatakan kesediaan untuk menjalin semula kerjasama itu.

Menurutnya, MIC dan partinya pernah menubuhkan kerajaan di bawah dua perdana menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Hashim berkata, PAS menolak untuk bersama kerajaan perpaduan biarpun ditawar jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Kita tidak akan masuk (kerajaan Perpaduan) selagi DAP ada. Kita sudah banyak pengalaman bersama DAP sebelum ini.

“Bagaimanapun, kerjasama dengan Umno masih terbuka dan kita tidak pernah menutup pintu rundingan ke arah perpaduan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Maszlee Malik sebelum ini bahawa peluang wakil PAS menjadi timbalan perdana menteri lebih cerah jika bersama kerajaan perpaduan. – 5 Ogos, 2025

Topics

 

◉ Hangat

79 candidates to fight for 28 seats in Melaka polls

Besides notable incumbents defending their seats such as Melaka CM Datuk Seri Ab Rauf Yusoh and Melaka Pakatan chief Adly Zahari, the Prime Minister’s political secretary Datuk Azman Abidin will contest his maiden election in Paya Rumput

MCA gets four seats in Melaka polls, predicts tough fight in DAP strongholds

Initially given two seats, last-minute negotiations within Barisan Nasional now lands MCA with the staunchly DAP seats of Kota Laksamana and Bandar Hilir

Binance pours US$6.3b to plug 90% of massive cyber heist as regulators circle

Crypto titan Binance has deployed over US$6.3 billion of its own reserves to absorb a colossal cyberattack, pledging full restitution as global securities watchdogs ramp up scrutiny

◉ Related