KUALA LUMPUR — ‘Kenapa tergesa-gesa’ persoalan penting ini telah dibangkitkan oleh pakar industri ketika kerajaan sedang mempercepatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig.
Soalan kritikal ini telah dikemukakan oleh Wan Agyl Wan Hassan, rakan pengurusan badan pemikir mobiliti MYmobility, menggambarkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan pihak berkepentingan ekonomi gig.
Mereka menyifatkan usaha untuk meluluskan rang undang-undang tersebut di Parlimen tanpa terlebih dahulu menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) ibarat “mendahulukan kereta kuda daripada kudanya”.
“Kerajaan perlu menubuhkan SEGiM terlebih dahulu. Biar suruhanjaya ini yang mengawal selia, membangun dan merangka akta yang diperlukan,” tegas Wan Agyl, sambil menegaskan pentingnya penubuhan sebuah badan khusus untuk mengemudi kerumitan industri berkenaan.
Beliau berkata, meluluskan undang-undang ini tanpa langkah asas berisiko mewujudkan kerangka yang cacat, sekali gus mengancam kestabilan ekosistem yang ingin dilindungi.
Wan Agyl menyarankan supaya pendekatan yang lebih berhati-hati diambil selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan garis masa yang dipercepatkan untuk pembentangan rang undang-undang itu.

Dalam sesi ‘teh tarik santai’ bersama pemain industri di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam, Zahid memberitahu, bacaan kali pertama RUU berkenaan dijangka 14 Ogos ini manakala bacaan kali kedua pula akan dibentangkan pada 26 Ogos.
Dan dua belas hari kemudian, undian akan dilakukan dan ia hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan.
Hasrat kerajaan, seperti yang dinyatakan oleh Zahid dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim, adalah untuk mewujudkan kerangka perlindungan sosial yang penting bagi 1.12 juta pekerja gig di negara ini, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam bidang tersebut.
Sim menyatakan bahawa draf tersebut dirangka dengan melibatkan lebih 3,000 pekerja, dan model ini dilihat sebagai “komprehensif dan tidak keterlaluan” di peringkat antarabangsa.

Namun, pendekatan sehala ini menimbulkan keresahan dalam kalangan pengendali platform di lapangan dengan kebimbangan mencerminkan isu struktur yang dibangkitkan oleh Wan Agyl.
Mereka bimbang rang undang-undang itu, dalam bentuknya yang masih belum didedahkan, gagal memahami realiti operasi perniagaan mereka.
Rahman Hussin, ketua pembangunan perniagaan platform penjagaan kanak-kanak dalam talian Kiddocare, menyifatkan semangat rang undang-undang itu sebagai “hilang dalam terjemahan”.
Beliau turut menyeru ketelusan, dengan menekankan keperluan mendesak untuk melihat Analisis Kesan Peraturan (RIA) yang sepatutnya menjadi asas kepada rang undang-undang sepenting ini.
“Sudah tentu kerajaan perlu buat analisis impak,” kata Rahman.
“Industri, terutamanya platform tempatan seperti kami, perlu tahu apa yang akan berlaku jika ini dikuatkuasakan. Kami perlu tahu kos pematuhan.”
Beliau menekankan rang undang-undang itu seolah-olah menganggap semua pekerja gig mahukan potongan Perkeso secara mandatori, satu anggapan yang bercanggah dengan pengalaman platformnya.
“Kami menghadapi cabaran apabila pekerja berkata, ‘Saya tak mahu potongan, saya cuma mahu gaji bersih saya’,” katanya, merujuk kepada kesukaran logistik untuk memaksa caruman dan kos tambahan bagi mengubah sistem kewangan untuk patuh.
Ketakutan terhadap kos yang tidak mampan merupakan kebimbangan utama bagi Haji Jalludin Abu Hassan, pengarah Halo Delivery, sebuah perkhidmatan tempatan yang menumpukan kepada kawasan luar bandar yang sering diabaikan oleh pesaing lebih besar.
“Sebagai syarikat kecil, kebimbangan kami adalah kos,” kata Jalludin secara terus terang.
“Kami bimbang kos akan tinggi, kami tak mampu dan kami takut terpaksa tutup operasi.”
Kegagalan pemain kecil dan tempatan, menurutnya, akan memberi kesan berantai yang teruk.
Ia akan membolehkan syarikat besar memonopoli pasaran, sekali gus merugikan bukan sahaja perniagaan tempatan tetapi juga pengguna di komuniti terpencil yang bergantung kepada perkhidmatan seperti Halo Delivery.
Sama seperti Rahman, Jalludin juga kesal dengan kekurangan maklumat terperinci.
“Kami hanya nampak perkara asas, tapi secara terperinci, kami tak tahu apa sebenarnya yang akan dibentangkan. Itu yang membimbangkan kami,” katanya sambil mengesa supaya perbincangan dengan kementerian diadakan sebelum rang undang-undang ini menjadi undang-undang.
Platform-platform ini menegaskan mereka tidak menentang kebajikan pekerja dan telah melaksanakan perlindungan proaktif. Jalludin mengesahkan bahawa Halo Delivery telah membayar 100% caruman Perkeso ke atas penunggang mereka sejak 2022 dan juga telah mula membuat carumah KWSP.
Pada akhirnya, para pemain industri tempatan ini secara kolektif menyeru agar tindakan yang diambil lebih berhati-hati dan tidak tergesa-gesa.
Mereka menyokong matlamat untuk melindungi pekerja, tetapi berhujah bahawa kerangka yang kukuh dan berkesan hanya boleh dibina melalui proses yang telus dan bersifat rundingan, sebaiknya diketuai oleh badan khusus seperti SEGiM, bagi memastikan Rang Undang-Undang Pekerja Gig ini memperkukuh, bukan membantutkan ekonomi digital Malaysia yang sedang berkembang pesat. – 8 Ogos 2025

