KUALA LUMPUR – Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha akan ditempatkan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan polis berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu sekolah itu, Zara Qairina Mahathir selesai.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya pagi ini berkata, keputusan itu diambil susulan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes berkenaan.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
“Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut adalah keutamaan KPM pada masa ini.” kata kenyataan itu.

Pada Isnin, Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) berkata, pasukan task force dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kini mengambil alih siasatan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Sabah.
Menurut kenyataan itu, pasukan berkenaan yang dianggotai sembilan pegawai serta anggota itu sudah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi tujuan itu.
“Penghantaran pasukan khas itu adalah sebahagian daripada komitmen PDRM untuk melaksanakan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh,” katanya.
Allahyarham Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1 pada 17 Julai lalu, selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Sabtu lalu, jenazahnya digali semula berikutan arahan Jabatan Peguam Negara yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.
Proses bedah siasat jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Papar itu selesai dilaksanakan di HQE I dan jenazahnya dikebumikan semula pada awal pagi Isnin. – 13 Ogos, 2025
