KUALA LUMPUR – Polis mendedahkan berlaku ketidakpatuhan pada prosedur siasatan di mana pegawai penyiasat (IO) tidak membuat permohonan untuk bedah siasat ke atas mayat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, pihaknya sedang meneliti tindakan tegas terhadap pegawai penyiasat dan penyelia yang gagal mematuhi prosedur termasuk kemungkinan penggantungan tugas, namun ia masih di peringkat siasatan.
Menurutnya, alasan yang diberikan oleh pegawai penyiasat itu adalah disebabkan ibu Allahyarham Zara Qairina merayu supaya bedah siasat tidak dijalankan.
Semakan, katanya, mendapati ibu mangsa menandatangani dokumen hospital ‘Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang turut disahkan oleh doktor patologi dan pegawai penyiasat terbabit.
“Apabila ada kematian mencurigakan, bedah siasat perlu diadakan. Persoalannya ialah kenapa pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk bedah siasat.
“Dari segi undang-undang, bedah siasat adalah pemeriksaan bagi mengetahui punca kematian. IO boleh mengetepikan ibu mangsa meskipun beliau menandatangani dokumen menolak bedah siasat, namun dia tidak melakukannya,’’ katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha akan ditempatkan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan polis berhubung kes kematian Zara Qairina selesai.
KPM berkata, keputusan itu diambil susulan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes berkenaan.
Allahyarham Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1 pada 17 Julai lalu, selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Sabtu lalu, jenazahnya digali semula berikutan arahan Jabatan Peguam Negara yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.
Dalam pada itu, Kumar memberitahu, berdasarkan keputusan bedah siasat yang dijalankan tiga pakar pada 10 Ogos lepas, punca kematian didapati konsisten dengan diagnosis awal pakar perubatan di Hospital Queen Elizabeth, iaitu kecederaan akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke bahagian otak.
“Dapatan bedah siasat kedua adalah selari dengan diagnosis awal, iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak berpunca daripada jatuh.
“Perbincangan dibuat dengan AGC serta polis dan berpendapat inkues perlu dibuat bagi mendapatkan pencerahan mengenai apa yang berlaku sebelum kejadian tersebut,’’ katanya.
Beliau memberitahu, selain inkues, pasukan petugas khas Bukit Aman juga akan menjalankan siasatan menjurus ke arah elemen lain terutama dari sudut jenayah iaitu buli selari dengan Seksyen 507(2) Kanun Keseksaan.
Kumar berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak AGC dan permohonan inkues itu akan dilakukan seawal minggu hadapan.
Selain itu, polis telah mengambil pendekatan proaktif dengan membuat proses intervensi terhadap sekumpulan pelajar yang dikesan mengalami trauma akibat insiden tersebut.
“Seramai 124 pelajar telah dibuat proses intervensi, iaitu proses yang digunakan mempunyai elemen psikiatri untuk memulihkan keyakinan kepada mereka, supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya. – 13 Ogos, 2025
