KUALA LUMPUR – Lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia bakal diberi hak secara bersama dengan penyedia platform atau majikan untuk menentukan kadar upah dan bayaran sebaik Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan.
Perkara itu dikongsi menerusi dokumen RUU Pekerja Gig yang disiarkan di laman web Kementerian Sumber Manusia, hari ini.
Menurut dokumen itu, pekerja gig di negara ini menerusi majlis tripartite atau majlis perundingan boleh bersama-sama berbincang mengenai kadar upah dan bayaran dengan pemegang taruh industri.
Dokumen tersebut melaporkan majlis perundingan yang ditubuhkan di bawah RUU membolehkan majlis tersebut memberi nasihat dan membuat cadangan kepada kerajaan mengenai pelbagai perkara sebagaimana ditentukan menteri.
“Antaranya termasuklah kadar pendapatan minimum, formula yang digunakan berkaitan kadar pendapatan minimum, standard minimum yang perlu digunakan pakai atau apa-apa perkara berkaitan pekerjaan gig dan tarikh permulaan kuat kuasa perintah.
“Selain itu, majlis juga mempunyai kuasa untuk berunding dengan pemegang taruh, mengumpul serta menganalisis data dan menilai kesan pelaksanaan perintah yang dikeluarkan,” jelas dokumen terbabit, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, RUU Pekerja Gig yang akan dibaca buat kali pertama hari ini juga bakal memperluaskan lagi kategori pekerja industri tersebut bukan sekadar sektor p-hailing dan e-hailing sahaja.
“Turut termasuk dalam jadual pekerja gig ialah lakonan, petugas pengeluaran filem, penyanyi, pemuzik, penggubah, penulis lirik, jurusolek, pendandan rambut, jurugaya, jurubahasa isyarat, wartawan, pemberita sambilan, juruvideo, jurugambar dan penjaga untuk orang tua atau ibu bersalin,” jelas dokumen itu.
Namun, RUU berkenaan hanya mengiktiraf pekerja gig dengan beberapa syarat iaitu warga negara atau pemastautin tetap, membuat perjanjian perkhidmatan dengan entiti kontrak bagi pelaksanaan dan menerima pendapatan untuk perkhidmatan.
Jelas dokumen itu lagi, RUU Pekerja Gig 2025 diwujudkan bagi melindungi hak pekerja gig, mengawal selia terma dan syarat perjanjian, menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian, penubuhan majlis perundingan, tribunal pekerja gig.
Ia juga bagi melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja gig serta melindungi keselamatan sosial industri yang semakin membesar sejak sedekad lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi perhatian terhadap perkembangan isu ini di mana beliau pada Mei lalu mengulangi jaminan akan menanganinya menerusi penggubalan RUU Pekerja Gig 2025.
Selepas lebih setahun dengan hampir 40 sesi libat urus dengan pelbagai pihak RUU Pekerja Gig 2025 akan dibentang Menteri Sumber Manusia, Steven Sim hari ini di Parlimen.
Difahamkan setakat ini hanya 15 negara dan negeri di dunia yang mempunyai akta hampir serupa bagi melindungi pekerja gig. – 25 Ogos, 2025
