◉ HEADLINES

KPM siasat pelajar terjatuh tingkat tiga asrama, pengurusan sekolah ditempatkan di JPN

Ketua Polis Selangor berkata siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001

3:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah membabitkan insiden seorang pelajar dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama di Sabak Bernam.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pada masa sama – Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden kini ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga siasatan selesai.

“Saya mengambil perhatian kemalangan yang membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini.

“Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital. Laporan kepada pihak polis telah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Fadhlina berkata, beliau akan memastikan siasatan dijalankan secara terperinci termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini.

“Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazi Kahar, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

“Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan rakan sekelilingnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga dikatakan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.

Bapa saudara mangsa Muhammad Aidil Mansor, 34, berkata anak saudaranya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Menurutnya, keputusan imbasan CT scan mendapati anak saudaranya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.

“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Pada masa sama, keluarga turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang didakwa lewat memaklumkan kejadian kepada penjaga.

“Keluarga hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku jam 2 pagi,” katanya. – 26 Ogos, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Red flags ignored, govt money down the drain? A recap of the LCS saga

The eye-watering RM9 billion littoral combat ships project courted controversy last year when multiple government and corporate reports outlined discrepancies behind the deal with main contractor Boustead Naval Shipyard and other companies.

Lower assessment rates for PJ properties, but up to 25% higher quantum due to property value

MBPJ set to review real estate taxes for 2025, 33 years after last revision

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

◉ Related