KUALA LUMPUR – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengambil alih sepenuhnya siasatan berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin.
Semalam, mahkamah membenarkan permohonan keluarga Allahyarham Syamsul Haris untuk menggali semula kubur serta menjalankan bedah siasat kedua terhadap jasad beliau dalam masa 14 hari.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, PDRM memberikan komitmen sepenuhnya untuk mematuhi perintah mahkamah tersebut dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus serta berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip rule of law bagi memastikan keadilan ditegakkan.
“Mahkamah yang dipengerusikan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet semalam telah mengeluarkan perintah supaya jasad Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Mahkamah turut memerintahkan supaya bedah siasat dilakukan seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh serta peguam keluarga, Datuk Naran Singh atau wakilnya.
“Selain itu, pakar forensik yang menjalankan bedah siasat berkenaan diarah mengeluarkan laporan post-mortem dalam tempoh munasabah, dengan satu salinan laporan diserahkan kepada peguam keluarga, Tetuan Naran Singh & Co,” katanya.
Pada 19 Ogos lalu, ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Sebelum ini, media melaporkan Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, dan jenazah dikebumikan pada keesokannya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebelum ini dilaporkan berkata hasil siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Jawatankuasa Siasatan Khas mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden kematian Syamsul Haris. – 27 Ogos, 2025
