HEADLINES

[TONTON] ‘Muhyiddin enggan dengar’ : SD untuk melindungi hubungan dengan PAS, bukan singkirkan beliau, tegas Wan Saiful

8:07 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Akuan bersumpah (SD) yang membawa kepada ‘pembersihan besar-besaran’ dalam Bersatu bukan konspirasi untuk menjatuhkan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya rayuan dalaman untuk mengelakkan PAS menjauhkan diri susulan tuntutan jawatan Perdana Menteri secara terbuka.

Perkara ini didedahkan oleh bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang mendakwa Muhyiddin secara peribadi enggan melihat dokumen tersebut atau mendengar penjelasannya.

Sebaliknya, kata Wan Saiful, SD itu dijadikan alasan bagi mengenakan tindakan  tatatertib terhadap beliau dan pemimpin parti yang lain.

Datuk Wan Saiful Wan Jan. – Gambar Scoop, 24 Oktober, 2025

Pendedahan mengejutkan itu dibuat dalam podcast Trick Lama bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media, Datuk Ahirudin Attan (Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Scoop, Terence Fernandez.

Wan Saiful menjelaskan secara terperinci mengenai isu SD, yang dibawa dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, SD tersebut dikumpulkan daripada pemimpin parti untuk menyampaikan satu mesej penting secara rasmi: jangan bawa usul untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke dalam perbahasan PAT.

“Tujuan SD itu adalah untuk meminta Tan Sri Muhyiddin dan kumpulan terdekatnya supaya tidak membawa usul yang boleh menjejaskan hubungan kita dalam Perikatan Nasional (PN),” jelas Wan Saiful.

Beliau berkata langkah itu didorong oleh keperluan untuk menghormati rakan utama Bersatu dalam PAS.

Sebagai sebuah ‘parti kecil’, Bersatu tidak berada dalam kedudukan untuk membuat tuntutan secara terbuka yang boleh ‘mencetuskan kemarahan’ sekutunya.

“Kita ini parti kecil, tetapi mahu membuat tuntutan secara terbuka, memaksa rakan-rakan kita dalam PN untuk akur dengan kehendak kita,” katanya, sambil menambah perkara sensitif seperti itu sepatutnya dibincangkan secara tertutup.

Wan Saiful memberitahu, beliau cuba menjelaskan perkara itu kepada Muhyiddin selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, yang diadakan dua hari sebelum PAT berlangsung.

“Saya bawa SD itu ke mesyuarat. Selepas mesyuarat berakhir,  saya terus berjalan ke arah Tan Sri. Ada video (menunjukkan) saya bercakap dengannya sambil memegang kertas itu,” katanya.

“Saya kata ‘Tan Sri, bolehkah kita ke pejabat sekejap? Saya nak tunjukkan dokumen ini.’ Dia jawab, ‘Tak apa, tak apa. Saya akan panggil bila ada masa. Namun ia tidak berlaku,’’ katanya.

Dari kiri Ketua Pengarang Scoop, Terence Fernandez; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media, Datuk Ahirudin Attan dalam podcast Trick Lama, baru-baru ini. – Gambar Scoop, 24 Oktober, 2025

Sebaliknya, kata Wan Saiful, naratif itu telah ‘diputarbelitkan oleh pihak tertentu’ di mana Muhyiddin sendiri membangkitkan isu SD dalam AGM dan menggambarkannya sebagai satu plot untuk menyingkirkan beliau.

“Beliau enggan mendengar kandungan sebenar SD itu,” keluh Wan Saiful.

“Beliau menyebutnya dalam PAT dengan menyatakan ‘saya dengar ada usaha untuk menjatuhkan saya dengan mengumpul SD.’ Itu tidak benar,’’ tegas Wan Saiful.

Pada September lalu, ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025, Muhyiddin memberitahu wujudnya gerakan mengutip tanda tangan untuk menjatuhkan beliau.

Menurut Muhyiddin, tindakan itu bercanggah dengan perlembagaan parti dan sekiranya beliau dijatuhkan melalui kutipan tanda tangan, semua pemimpin kanan Bersatu lain juga boleh dijatuhkan melalui cara yang sama

Sementara itu, rakan seperjuangan Wan Saiful, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung keahlian selama satu penggal, menjelaskan melobi secara terbuka untuk jawatan tertinggi adalah sesuatu yang dianggap tidak sopan dalam budaya PAS.

“Dalam PAS, budaya mereka bukan untuk meminta jawatan,” kata Wan Fayhsal. 

“Apabila Bersatu terlalu ghairah mahu menamakan ‘poster boy’, calon PM, ia menunjukkan kita tidak memahami corak hubungan dalam gabungan kita.”

Kedua-dua pemimpin itu berpendapat tindakan mereka terbukti benar apabila muktamar yang diadakan PAS baru-baru ini meluluskan satu usul supaya parti itu mengetuai PN — satu reaksi langsung terhadap apa yang mereka anggap sebagai sikap angkuh Bersatu. – 24 Oktober, 2025

Topics

 

Hangat

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Related