◉ HEADLINES

Kecurian kabel punca gangguan perkhidmatan MRT Putrajaya, kekerapan tren antara 20 – 30 minit

Tren dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral kini dipandu secara manual, menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di setiap stesen

2:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Aktiviti kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan di Laluan Putrajaya disyaki menyebabkan gangguan sistem semboyan yang sedang berlaku hingga mengakibatkan perkhidmatan MRT Putrajaya terjejas.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataannya berkata, tren dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral kini dipandu secara manual, menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di setiap stesen.

Kekerapan tren, katanya, dijangka mengambil masa antara 20 hingga 30 minit.

“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati aktiviti kecurian itu berlaku berhampiran Stesen Kuchai, di mana longgokan kabel yang telah dipotong turut ditemui berdekatan kawasan stesen tersebut.

“Rapid Rail kini bekerjasama dengan pihak MRT Corporation selaku pemilik aset dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan aktiviti kecurian kabel yang telah berlaku di beberapa lokasi di sekitar jajaran Laluan Putrajaya kebelakangan ini dapat dibendung dan tidak berulang kembali,’’ katanya.

Menurut Rapid Rail, pasukan teknikalnya bersama pakar sistem asal (OEM) juga sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan menyeluruh bagi memastikan operasi tren dapat kembali stabil dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, Laluan Putrajaya masih mengalami gangguan sistem semboyan yang menjejaskan jadual perkhidmatan dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral.

“Perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan di antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Putrajaya Sentral,’’ katanya.

Bagi melancarkan pergerakan penumpang di stesen, ujarnya, anggota polis bantuan dan petugas stesen telah ditempatkan di platform, ruang legar, hentian bas di stesen bagi membantu penumpang.

Pasukan operasi Rapid Rail juga kini sedang giat menjalankan pemantauan rapi serta kerja-kerja pemulihan bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan secepat mungkin.

Penumpang dinasihatkan untuk merujuk kepada laman sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini status perkhidmatan. – 25 Oktober, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Tragedi lori jatuh laut, pemandu ditemukan lemas

Seorang lelaki berusia 24 tahun, dipercayai lemas selepas lori yang dipandunya terjatuh ke dalam laut di Dermaga Pelabuhan Barat, Klang di sini, hari ini.

Sedia pinda undang-undang kekang jenayah babit pesakit mental: Dzulkefly

Dzulkefly tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu didakwa mengalami masalah kesihatan mental, menggunakan 'tiket sedemikian' untuk melakukan jenayah, namun sebarang pindaan perlu diperhalusi

Stop pampering the two-wheeled road ruffians! – Ravindran Raman Kutty

For too long, politics pampered road ruffians. Now their menace has matured into road terrorism — and leaders must stop stroking the tiger

◉ Related