HEADLINES

Najib bukan mangsa tapi ‘arkitek’ jenayah IMDB: pendakwa

Pendakwa berkata Najib adalah individu paling berkuasa dalam membuat keputusan di Malaysia ketika itu dan mempunyai kawalan mutlak dari segi eksekutif, kewangan serta politik

8:18 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merumuskan bekas Perdana Menteri bukan mangsa sebaliknya pengatur utama.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Ahmad Akram Gharib, Najib juga bukan mangsa jenayah orang lain sebaliknya arkitek dan menggambar dirinya sebagai mangsa kepada pegawai bawahannya yang tidak bertanggungjawab.

Hakikatnya, kata beliau, bekas Ahli Parlimen Pekan itu adalah individu paling berkuasa dalam membuat keputusan di Malaysia serta dalam 1MDB pada tempoh berkenaan malah tertuduh mempunyai kawalan mutlak dari segi eksekutif, kewangan dan politik, lapor Bernama.

“Dia bukan mangsa jenayah orang lain, sebaliknya arkitek kepada jenayah-jenayah tersebut. Individu yang kini dilabelnya sebagai pelaku telah terbukti bertindak mengikut arahannya, menerusi pejabatnya dan untuk kepentingannya sendiri.

“Lembaga pengarah, pengurusan dan pegawai 1MDB semuanya beroperasi di bawah arahannya. Beliau tidak boleh kini memindahkan kesalahan kepada orang bawahan sedangkan kelulusannya sendiri, pejabatnya sendiri dan akaunnya sendiri berada di tengah-tengah urus niaga tersebut,” katanya.

Ahmad Akram berkata demikian dalam hujahan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. Pasukan pendakwaan menutup hujahan lisan mereka hari ini.

Sementara pasukan pembelaan Najib dijangka menyelesaikan hujahan balasnya esok.

Pada 6 Mei, pihak pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil 26 saksi dan mahkamah telah menetapkan sembilan hari bermula 21 Oktober bagi mendengar hujahan lisan.

Najib, 72 tahun, berdepan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Beliau sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berhubung kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Ahmad Akram berkata keterangan menunjukkan setiap individu yang dipersalahkan oleh tertuduh bertindak mengikut arahannya atau dengan kelulusan jelas memandangkan mereka ialah pegawai bawahan yang tertakluk kepada arahan Perdana Menteri, sama ada disampaikan secara langsung atau melalui orang tengahnya, Low Taek Jho (Jho Low).

“Keterangan membuktikan tertuduh bukanlah seorang ketua yang tidak terlibat, sebaliknya pencetus, pengarah dan penerima manfaat utama bagi skim yang dipersoalkan,” katanya.

Beliau menegaskan kes pendakwaan disokong oleh dokumen yang menunjukkan tiada sebarang projek atau pelaburan 1MDB dapat dijalankan tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada tertuduh, dan setiap dokumen korporat utama mengandungi tandatangan atau pengesahannya.

“Keterangan daripada AmBank dan saksi pendakwaan ke-47, penganalisis Bank Negara Malaysia Adam Ariff Mohd Roslan, dengan jelas menjejak sejumlah besar wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi tertuduh.

“Sumber dana tersebut adalah daripada syarikat-syarikat yang dikawal oleh ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho, dan bukan daripada keluarga diraja Arab Saudi seperti yang didakwa. Tertuduh secara peribadi menggunakan dan mengarahkan perbelanjaan dana itu untuk kepentingan dirinya dan tujuan politik,” katanya.

Sementara itu, TPR Mohamad Mustafa P. Kunyalam menyifatkan kes 1MDB sebagai amat luar biasa, dan berkata sekiranya segala urusan syarikat itu diurus dengan mematuhi piawaian korporat sepenuhnya, “kita tidak akan berada di sini hari ini, dan dana tersebut tidak akan mengalir ke tempat lain atau berakhir dalam akaun bank tertuduh”.

Beliau berkata penyelewengan dalam pengurusan 1MDB bukan berlaku secara tidak sengaja, tetapi dengan niat, dan menambah bahawa jauh daripada menjauhkan diri, Najib sebenarnya memperkukuh kedudukan ahli perniagaan buruan Jho Low dalam urusan peribadi dan rasminya.

“Satu-satunya kesimpulan yang munasabah ialah Jho Low berperanan sebagai orang tengah, proksi dan fasilitator utama bagi pihak tertuduh dalam urusan 1MDB. Sekarang kita boleh bertanya apakah tindakan yang diambil terhadap Jho Low pada tahun 2009?

Sementara itu, seorang lagi pendakwa raya Datuk Kamal Baharin Omar yang berhujah mengenai 21 pertuduhan pengubahan wang haram, berkata kebergantungan Najib terhadap Jho Low serta surat-surat derma daripada Arab Saudi yang tidak disahkan, menunjukkan sikap “sengaja membutakan mata”, sedangkan aliran masuk dana yang besar — RM155 juta, RM304 juta dan RM602 juta ke dalam akaun peribadinya, sepatutnya disemak dengan teliti.

“Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tempoh berkenaan, tertuduh mempunyai tanggungjawab untuk mengesahkan sumber dana tersebut, namun memilih untuk tidak berbuat demikian. Skala transaksi, lapisan akaun luar pesisir dan kekurangan bukti derma yang sahih membuktikan wujudnya pengelakan secara sedar, yang dalam konteks undang-undang dianggap sebagai pengetahuan sebenar.

“Dengan menutup mata secara sengaja, tertuduh telah memenuhi ujian ‘alasan untuk mempercayai’ di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA). – 30 Oktober, 2025

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related