HEADLINES

Bersatu Ampang desak Muhyiddin lepas jawatan, tarik balik kepercayaan

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa yang bersidang pada 28 Oktober lalu

10:25 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ampang sebulat suara menggesa presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan dengan kadar segera demi memulihkan perpaduan serta keyakinan ahli terhadap masa depan parti.

Setiausaha Bahagian Bersatu Ampang, Daing Mohamad Daing Makati dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat jawatankuasa yang bersidang pada 28 Oktober lalu selepas membincangkan secara terbuka perkembangan mutakhir melibatkan hala tuju dan kestabilan dalaman parti.

Menurut kenyataan itu, Bersatu kini berdepan pergolakan dalaman yang ketara, khususnya membabitkan hubungan antara Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan parti dengan sebahagian besar kepimpinan di peringkat bahagian di seluruh negara.

Bahagian Ampang turut menginsafi kegagalan kepimpinan tertinggi, khususnya Presiden, dalam menangani dan menasihati kedua-dua pemimpin tersebut untuk memperkukuh hubungan dalaman parti telah membawa kepada perpecahan yang semakin meruncing dalam kalangan akar umbi serta kepimpinan bahagian.

“Maka dengan ini Bersatu Bahagian Ampang dengan penuh tanggungjawab, kesedaran, keinsafan dan semangat cintakan parti, telah mengambil keputusan untuk menarik balik kepercayaan terhadap kepimpinan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Parti Bersatu,” katanya.

Daing Mohamad dalam kenyataan itu turut mendesak agar Muhyiddin melepaskan jawatan secara terhormat dengan segera demi memulihkan perpaduan serta keyakinan ahli-ahli terhadap masa depan parti.

Parti itu turut menyeru agar satu pelan transisi kepimpinan dilaksanakan dengan tertib dan inklusif, bagi memastikan Bersatu kekal kukuh dan berdaya saing menjelang pilihanraya akan datang.

“Sekali lagi diulangi, keputusan ini dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Bahagian Ampang setelah mengambil kira pandangan dan aspirasi ahli di peringkat akar umbi yang mengharapkan perubahan demi kelangsungan perjuangan parti yang dicintai,” katanya. – 4 November, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related