◉ HEADLINES

Tengku Zafrul akhiri khidmat sebagai menteri MITI 2 Disember ini

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai siapakah penggantinya

2:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menamatkan tempoh perkhidmatan beliau berkuat kuasa 2 Disember 2025.

“Hari terakhir saya di MITI adalah pada 2 Disember 2025. Oleh itu, memandangkan saya bukan lagi anggota Dewan Negara (untuk terus menyandang jawatan itu), sudah semestinya saya tidak boleh meneruskan khidmat sebagai menteri,” katanya ketika Taklimat Media Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025 di Putrajaya, hari ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata hari terakhirnya di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga serentak dengan penamatan perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul menzahirkan hasratnya untuk membantu pengganti beliau dalam tempoh peralihan sebagai menteri baharu.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk terus memainkan peranan sebagai penasihat, beliau berkata tiada sebarang perbincangan mengenai perkara itu setakat ini.

“Tiada sebarang perbincangan mengenainya lagi…namun jika timbul keperluan itu, saya sudah membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan telah menyatakan hasrat untuk terus membantu.

 “Oleh itu, saya masih menunggu keputusan perdana menteri. Saya juga tidak rasa perdana menteri membuat sebarang keputusan mengenai peranan saya selepas ini,” katanya.

Menyentuh mengenai penggantinya, Tengku Zafrul enggan mengulas lanjut dan secara berseloroh turut bertanyakan soalan sama kepada media yang hadir.

“Siapa Menteri MITI baharu, saya tidak tahu. Mungkin anda media lebih tahu,” katanya.

Tengku Zafrul yang berkhidmat atas kapasiti sebagai seorang senator selama dua penggal sejak 2020 yang juga tempoh maksimum dibenarkan, akan menamatkan tempoh enam tahun di Dewan Negara pada 2 Disember 2025. – 13 November, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

Malaysia Airlines, SIA join rush to cancel Middle East flights as Iran-US-Israel strikes escalate

More countries announce airspace closures as carriers suspend flights on Feb 28 and March 1, passengers reminded to check for updates on subsequent flights

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related