KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini bagi mendapatkan permohonan reman untuk membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah.
Kedua-duanya yang bergari dan memakai baju lokap berwarna oren tiba di perkarangan mahkamah dengan menaiki van Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam, 8.59 pagi.
Sebaik melangkah dari van, Albert menjerit ‘inilah akibatnya mendedahkan kes libatkan pemimpin tertinggi’.
Shamsul Iskandar bagaimanapun hanya mendiamkan diri.
Semalam, SPRM telah menahan Shamsul Iskandar, Albert dan seorang wanita, Sofia Rini Buyong bagi membantu siasatan kes tohmahan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes dakwaan pemberian rasuah oleh Albert Tei atau nama sebenar Tei Jiann Cheing kepada Shamsul Iskandar bagi mendapatkan semula wang yang diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Sabah.
Jelasnya, Shamsul Iskandar ditahan Ibu Pejabat SPRM pada jam 12.51 tengah hari semalam ketika hadir bagi memberikan keterangan.
“Albert Tei yang pada mulanya dijangka hadir (memberi keterangan) pada 1 Disember telah dimaklumkan untuk hadir lebih awal namun demikian beliau enggan hadir lebih awal dan enggan memberi kerjasama dengan siasatan dijalankan SPRM,” katanya.
Albert, katanya, ditahan di rumahnya di Puchong pada 10.15 pagi semalam dan penahanan itu dilakukan berikutan beliau orang paling penting bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Azam berkata SPRM juga telah menyerahkan notis Seksyen 28A (9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa yang menyiasat bagi menafikan hak tertuduh untuk berhubung dengan peguam dan mana-mana pihak lain.
Sementara itu, Sofia Rini pula, telah ditahan pada 10.30 malam semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan dan permohonan reman terhadap wanita itu dibenarkan selama empat hari hingga Isnin ini oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Beliau menegaskan, kes itu merupakan kes berkepentingan awam dan SPRM telah menjalankan siasatan dengan kadar segera agar tidak dimanipulasi pihak tertentu.
Pada 25 November, Shamsul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri. – 29 November, 2025

