KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti mengambil tanggungjawab dengan melepaskan jawatan sebagai presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) susulan kekalahan teruk gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengasas dan mantan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sarawak, Johan Mohamad berkata, jawatan pengerusi PN perlu diberikan kepada PAS manakala Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik sebagai presiden Bersatu, menggantikan Muhyiddin.
Jelasnya, penyokong Muhyiddin kini sedang cuba melarikan Ahli Parlimen Pagoh itu daripada dipersalahkan susulan keputusan yang amat buruk dan cuba mencipta naratif bahawa Hamzah selaku pengarah pilihan raya Bersatu yang bersalah.
“Sebenarnya Hamzah memikul peranan yang hampir mustahil kerana dalam keadaan Muhyiddin sudah usang dan tidak menyelerakan, Hamzah dipaksa menjual jenama “Abah” kepada pengundi.
“Dalam PRN 2020 dulu memang benar pengundi tertarik dengan imej Abah tetapi itu dulu. Hari ini “Abah” sudah jadi “Atok” yang membosankan.
“Jurujual tersohor pun tak akan dapat menjual makanan basi,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRN ke-17 Sabah, PN bertanding 42 kerusi namun hanya menang satu kerusi sahaja iaitu di DUN Karambunai, menerusi Dr Aliakhbar Gulasan dari PAS yang bertanding atas tiket PN.
Menurut Johan, isu Muhyiddin sebagai calon sebagai calon Perdana Menteri juga mengganggu mesej kempen PN.
“Dalam ceramah, PN cuba meraih undi dengan mengatakan calon-calon mereka adalah muka-muka baru dan anak muda. Tetapi pengundi melihat mesej in sebagai songsang kerana “poster boy” PN iaitu Muhyiddin adalah muka tua.
Jelasnya, Bersatu di bawah pimpinan Muhyiddin pula merudum daripada 11 kerusi pada PRN 2020 kini menjadi kosong terus dan keadaan ini bukan lagi mengecewakan sebaliknya satu kehancuran.
Menurut Johan, Muyiddin perlu menerima hakikat bahawa beliau sudah tiada taring dan gigi, serta tidak mampu menggigit walaupun sedikit.
“ Muhyiddin mesti ambil tanggungjawab dengan cara melepaskan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional, jika tidak, Bersatu dan PN akan terus merudum.
“ Cuma sinar bagi PN ialah apabila PAS menang di Karambunai. Kemenangan ini melambangkan rakyat berbilang bangsa menerima PAS sebagai pemimpin,’’ katanya. – 30 November, 2025

