◉ HEADLINES

DBKL perketat kawalan lesen, bendung aktiviti songsang: Dr Zaliha

DBKL hanya meluluskan lesen perniagaan berdasarkan permohonan sah, namun terdapat premis yang dikesan menjalankan aktiviti di luar skop perniagaan termasuk perbuatan tidak bermoral selepas lesen diberikan

2:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya meluluskan lesen perniagaan berdasarkan permohonan sah, namun terdapat premis yang dikesan menjalankan aktiviti di luar skop perniagaan termasuk perbuatan tidak bermoral selepas lesen diberikan.

“Contohnya, kalau dia kata untuk lesen pembukaan spa, kita benarkan… tetapi aktiviti yang dilakukan selepas daripada itu adalah di luar kawalan kita… itu yang kadang-kadang kita jumpa aktiviti-aktiviti yang selain daripada apa yang telah mereka mohon dalam lesen tersebut,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai peranan DBKL dalam memantau dan mengawal premis seperti spa agar tidak disalah guna bagi tujuan aktiviti songsang.

Sebelum ini, polis menahan seramai 208 individu termasuk 17 penjawat awam dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan di Chow Kit yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang.

Dr Zaliha menjelaskan DBKL telah melaksanakan beberapa langkah bagi menangani isu tersebut, antaranya pemantauan berkala terhadap premis berlesen untuk memastikan pematuhan syarat yang ditetapkan.

Beliau turut memaklumkan bahawa KL Strike Force, iaitu operasi penguatkuasaan bersepadu, telah diaktifkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Zaliha menekankan pembangunan pesat serta proses urbanisasi di Wilayah Persekutuan mewujudkan persaingan sosial yang semakin mencabar, khususnya dalam aspek perumahan, peluang pekerjaan, akses kemudahan awam dan ruang bandar berkualiti.

Katanya, keadaan tersebut berpotensi meningkatkan jurang sosial, mewujudkan pemusatan kelompok pendapatan mengikut kawasan serta menekan kesejahteraan komuniti sedia ada berikutan peningkatan kos sewaan dan pengangkutan harian.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan telah melaksanakan pendekatan strategik melalui Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 bagi mendepani cabaran tersebut.

Dr Zaliha berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) berhubung kesan sosial daripada pembangunan pesat dan urbanisasi di Wilayah Persekutuan terhadap masyarakat setempat, khususnya dalam aspek persaingan sosial dan peningkatan kos sara hidup. – 1 Disember, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Seedance 2.0 and Napster: History repeating in digital disruption, backlash, and forced evolution? – K V Soon

From Hollywood backlash to forced evolution, generative AI tools like Seedance 2.0 pose both challenges and opportunities for Malaysia’s film, animation, and cultural sectors

Tragedi lori jatuh laut, pemandu ditemukan lemas

Seorang lelaki berusia 24 tahun, dipercayai lemas selepas lori yang dipandunya terjatuh ke dalam laut di Dermaga Pelabuhan Barat, Klang di sini, hari ini.

Polis teruskan pemantauan dan rondaan berkala di lokasi tanah jerlus

Tugas polis lebih kepada keselamatan orang ramai dan pemantauan serta rondaan secara berkala

◉ Related