HEADLINES

RUU Antibuli 2025 diluluskan, terpakai pada individu 18 tahun ke bawah

Kita akan menilai keberkesanan RUU ini bagi kumpulan bawah 18 tahun, dan pada 2026 kita akan mengkaji perluasan pelaksanaan kepada mereka berusia 18 tahun ke atas, kata Azalina

6:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Anti-Buli 2025, yang mewujudkan satu mekanisme perundangan khusus bagi menangani aduan kes buli yang antara lain memperkenalkan mekanisme khusus menerima aduan, mencegah serta mengurus insiden buli di instituti pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) , Datuk Seri Azalina Othman ketika menggulung perbahasan berkata buat permulaan, pelaksanaan RUU tersebut akan terpakai kepada golongan berusia 18 tahun ke bawah.

“Saya berdiri di sini memberi komitmen, jika diizinkan Allah, tahun depan kita akan menilai keberkesanan RUU ini bagi kumpulan bawah 18 tahun, dan pada 2026 kita akan mengkaji perluasan pelaksanaan kepada mereka berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

Menurut Azalina, menerusi RUU itu, tribunal boleh mengeluarkan perintah terhadap responden, atau bagi responden kanak-kanak, ibu, bapa atau penjaga, untuk membayar pampasan atau ganti rugi sehingga RM250,000 bagi sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami mangsa akibat buli.

Azalina menjelaskan, pendekatan ini bersifat pencegahan kerana tanggungjawab terhadap tingkah laku anak-anak tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada pihak sekolah atau guru, lapor Bernama.

“Jika ibu bapa mengetahui mereka turut boleh dikenakan ganti rugi atas kelakuan anak yang tidak bertanggungjawab, saya melihat ini boleh berfungsi sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Selain itu, RUU berkenaan juga membolehkan tribunal mengarahkan ibu bapa atau penjaga hadir bersama responden kanak-kanak ke sesi kaunseling atau program sokongan keibubapaan yang disediakan oleh agensi kerajaan, sekali gus memperkukuh pendekatan pencegahan.

Sementara itu, Azalina ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, berkata statistik Sistem Sahsiah Diri Murid Kementerian Pendidikan menunjukkan sejak 2019, purata lebih 14,000 kes buli dilaporkan setiap tahun di sekolah rendah dan menengah.

Beliau menambah, National Health and Morbidity Survey 2022 oleh Kementerian Kesihatan pula menunjukkan 8.6 peratus pelajar berumur 13 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa buli, dengan risiko tiga kali ganda mengalami kemurungan atau kecenderungan mencederakan diri.

Sementara itu, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 160 kes buli, termasuk buli fizikal dan buli atas talian, dengan 78 peratus mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur 6 hingga 17 tahun antara Ogos hingga Oktober tahun ini.

“Secara keseluruhannya, statistik ini mengesahkan bahawa sekolah merupakan lokasi utama insiden buli dan kanak-kanak adalah kumpulan paling terdedah dan rentan,” katanya. – 3 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related