◉ HEADLINES

Syed Saddiq dalang pecah amanah RM1 juta dana Armada: Pendakwaan

Pihak pendakwaan berkata, sebagai dalang atau master mind, Syed Saddiq patut dipersalahkan sepenuhnya

2:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini berhujah bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah dalang atau ‘mastermind’ di sebalik perbuatan pecah amanah dana RM1 juta Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika berhujah di Mahkamah Persekutuan berkata, Syed Saddiq telah mengarahkan bekas penolong bendahari Armada, Rafiq Hakim, untuk mengeluarkan wang RM1 juta pada 6 Mac 2020.

Pendakwaan berkata, Rafiq, yang juga saksi pendakwaan ke-13 ketika memberikan keterangan menyatakan tindakan itu disebabkan arahan daripada bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Beliau berkata, Syed Saddiq telah memberikan arahan untuk mengeluarkan wang milik Armada disebabkan alasan-alasan yang jahat dan tidak jujur.

“Malah, keterangan saksi ke-13, bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, menunjukkan dengan jelas bahawa beliau tidak akan mengeluarkan wang tersebut sekiranya tidak menerima arahan daripada Syed Saddiq,” kata Wan Shaharuddin.

Keterangan Rafiq, kata Wan Shaharuddin, yang mengaku diarah Syed Saddiq melalui panggilan WhatsApp dan seterusnya mengeluarkan dana berkenaan, merupakan fakta yang tidak dipertikaikan ketika peringkat perbicaraan.

“Kes kami adalah Syed Saddiq yang merupakan dalang atau master mind dalam perlakuan pecah amanah oleh Rafiq, patut dipersalahkan sepenuhnya.

“Apa yang kami perlu buktikan di sini, tanpa arahan responden, Rafiq tidak akan melakukan kesalahan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan,” hujah Wan Shaharuddin, lapor Malaysia Gazette.

Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar rayuan akhir pendakwaan berhubung pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais mempengerusikan panel tiga hakim pada prosiding yang bermula 9.30 pagi.

Turut bersidang Datuk Che Mohd Ruzima Razali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang baru mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 3 Disember lepas.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang turut dibantu oleh Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq, 33, diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ambiga Sreenevasan, Kee Wei Lon dan Lim Wei Jiet.

Pada 25 Jun lepas, Mahkamah Rayuan melepas serta membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.

Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.

Selain itu, Syed Saddiq dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit. – 11 Disember, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

FAM at 99: a journey from colonial roots to Malaysia’s football milestones

The Football Association of Malaysia (FAM) marks its 99th anniversary today, tracing a journey from its colonial-era beginnings in 1926 to becoming the custodian of Malaysian football

◉ Related