HEADLINES

MCMC peruntuk dana RM310 juta bangun infrastruktur Bandar Pintar Melaka: Fahmi

Peruntukan itu akan menyokong hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai bandar warisan digital selaras dengan statusnya sebagai negeri warisan

8:01 PM MYT

 

MELAKA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperuntukkan dana sebanyak RM310 juta untuk membangunkan infrastruktur kesalinghubungan bagi inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata peruntukan itu akan menyokong hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai bandar warisan digital selaras dengan statusnya sebagai negeri warisan.

“MCMC telah mengadakan sesi perbincangan untuk membantu melaksanakan pelan tindakan Melaka Pintar 2035… ini menjadi panduan utama kepada transformasi digital negeri ke arah pembangunan lestari, berdaya huni dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Melaka dan MCMC dalam Pembangunan Infrastruktur Kesalinghubungan bagi Inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka.

MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad, dengan disaksikan oleh Fahmi serta Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Fahmi berkata beberapa inisiatif utama akan dilaksana menerusi MoU itu termasuk pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik melalui Melaka Network Operation and Command Centre.

Turut akan dilaksana ialah pengurusan pelancongan warisan berasaskan teknologi pintar serta inisiatif pengurusan banjir menggunakan sistem amaran awal dan sensor teknologi Internet Kebendaan (IoT).

“Infrastruktur kesalinghubungan pintar menyediakan asas kukuh dalam pembangunan bandar pintar terutamanya dalam penyediaan rangkaian gentian optik, tiang pintar dan Wi-Fi awam bagi meningkatkan akses kepada capaian Internet di seluruh negeri Melaka. 

“Usaha ini turut merangsang pembangunan ekonomi digital tempatan dengan memperkukuh infrastruktur komunikasi bagi menyokong sektor pelancongan, peruncitan, logistik serta perusahaan kecil dan sederhana sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan,” katanya.

Semasa sidang media selepas itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi melihat Kerajaan Negeri Melaka mempunyai hala tuju dan berpandangan jauh terhadap usaha mendigitalkan pelbagai aspek perkhidmatan.

“Asas kepada perkhidmatan digital ini semestinya infrastruktur digital itu sendiri… kalau hendak dibandingkan dengan beberapa inisiatif MCMC yang lain, (projek) kali ini merangkumi seluruh negeri (dan) bukan sekadar kawasan bandar supaya dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat.

“Saya percaya kita akan dapat mulakan fasa pertama dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan,” katanya.

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

ASNB announces RM2.18 bil dividend payout

ASB 2 declares distribution of 5.50 sen per unit to 614,309 unitholders while ASM declares five sen per unit to 740,513 unitholders

Spotify hikes Premium subscription fees by RM1 to RM3 in Malaysia

Subscribers will face higher monthly payments across all Premium plans, effective from September

Related