HEADLINES

Kes Durian Tunggal: Peguam gesa Ketua Polis Melaka dicutikan, bimbang campur tangan

Peguam berkenaan berkata jika kes itu disiasat oleh Bukit Aman, maka kenyataan dan tindakan Dzulkhairi yang berterusan didakwa sebagai satu bentuk campur tangan

3:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka menggesa supaya Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar diarahkan bercuti (garden leave) atau dipindahkan dari negeri itu kerana bimbang berlaku campur tangan dalam siasatan.

Gesaan itu dibuat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut peguam Rajesh Nagarajan, jika kes itu disiasat oleh Bukit Aman, maka kenyataan dan tindakan Dzulkhairi yang berterusan didakwa sebagai satu bentuk campur tangan.

“Kami telah bekerjasama sepenuhnya dengan polis, kami menyerahkan rakaman audio, memberi kenyataan dan mengemukakan semua bukti, namun begini pula layanan terhadap mangsa,’’ katanya, lapor Malay Mail.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Peguam berkenaan turut mengecam kenyataan Dzulkhairi mengenai status perkahwinan isteri si mati dan menyifatkan kenyataan terbaru mengenainya sebagai tidak relevan dan menyalahkan mangsa.

“Dia juga mangsa dan suaminya baharu sahaja dibunuh. Sama ada dia berkahwin secara sah atau secara adat di kuil tidak ada kaitan dengan pembunuhan tiga individu.

“Ini tidak logik dan sama sekali tidak boleh diterima,’’ katanya.

Rajesh turut menolak dakwaan wanita itu mempunyai rekod jenayah dan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak benar serta mengelirukan.

Beliau mencabar Dzulkhairi mengemukakan bukti jika bertegas dakwaan tersebut benar.

“Rekod jenayah hanya wujud apabila seseorang didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah. Disiasat polis atau memberi kenyataan tidak bermaksud mempunyai rekod jenayah.

Dzulkhairi sebelum ini dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati, wanita yang berusia 31 tahun itu tiada hubungan suami isteri dengan salah seorang si mati sebaliknya mereka hanya pasangan kekasih yang tinggal serumah di Durian Tunggal sejak lebih tiga tahun lalu.

Wanita itu juga, katanya, adalah kekasih si mati yang mempunyai 10 rekod lampau termasuk cubaan bunuh.

Insiden tembakan maut itu berlaku kira-kira jam 4.30 pagi pada 24 November di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, di mana tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis.

Pegawai tersebut, yang berusia awal 30-an, mengalami kecederaan serius pada lengan kirinya.

Polis berkata ketiga-tiga mereka dipercayai ahli Geng Durian Tunggal, yang aktif sejak 2024 dan dikaitkan dengan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.35 juta.

Bagaimanapun, pada 3 Disember, ahli keluarga si mati mempertikaikan dakwaan polis bahawa suspek telah menyerang anggota, sekali gus mendorong Bukit Aman menubuhkan pasukan khas pada 4 Disember untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Kes itu kemudiannya diambil alih oleh Unit Siasatan Khas Bukit Aman. – 15 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Is it costly for small businesses to obtain halal certification?

A restaurant owners’ group agrees it can be, while application guidelines show fee is not high but added costs lie in the process to achieve compliance

Related