HEADLINES

Kedah lawan habis-habisan isu lesen judi: Sanusi

Mahkamah menolak rayuan Kedah berhubung lesen judi, namun kerajaan negeri akan membawa kes ke Mahkamah Persekutuan

12:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kedah akan meneruskan tindakan undang-undang mempertahankan keputusan tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri dengan membawa kes ke Mahkamah Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan pendirian itu tidak akan berubah kerana ia selari dengan mandat rakyat yang memilih kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar berteraskan nilai Islam.

“Kita tak akan berhenti di situ, kita akan lawan. Saya kecewa dengan keputusan itu, namun kita akan bawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Sanusi berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Disember lalu yang menolak rayuan kerajaan negeri melalui keputusan majoriti 2-1, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa arahan tidak memperbaharui lesen perjudian adalah tidak berperlembagaan.

Dalam keputusan itu, Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Faizah Jamaludin menolak rayuan atas alasan tiada merit, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, berpendirian berbeza.

Mahkamah Rayuan turut memutuskan hal ehwal berkaitan perjudian dan loteri berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan kerana lesen ejen dan pengusaha dikawal selia kementerian berkenaan.

Sanusi menegaskan kerajaan negeri bertindak berdasarkan kuasa sedia ada apabila tidak memperbaharui lesen premis perjudian selaras dengan dasar negeri.

“Kita sudah jadi kerajaan, kita boleh laksanakan apa yang kita mahu berdasarkan undang-undang sedia ada. Polisi kita jelas, tidak lagi memperbaharui lesen premis judi di Kedah,” katanya.

Beliau berkata polisi itu dicabar 12 operator perjudian, termasuk dua dari Kedah, dengan kes dibawa oleh peguam daripada DAP.

Sanusi menambah Kedah mencontohi dasar Kelantan dan Terengganu yang lebih awal menghalang perluasan aktiviti perjudian.

Katanya, keputusan mahkamah menimbulkan persoalan terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan apabila dasar berteraskan nilai Islam dilihat tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam kerangka undang-undang sedia ada.

“Undang-undang kita masih ‘kafir’ sebab kalau difahami, ini perintah Tuhan mengenai perjudian dan arak yang semua itu dosa besar tetapi tidak boleh dalam kerangka ini,” katanya.

Sanusi turut kesal apabila hak kerajaan negeri mengikut Seksyen 9 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dinafikan, dengan alasan PBT tidak boleh menerima arahan daripada kerajaan negeri walaupun peruntukan undang-undang jelas memberi kuasa itu. – 22 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

The North Face bids farewell to Malaysia with 60% clearance sale

Beloved outdoor brand announces closure of its seven retail outlets, leaving fans saddened, with many expressing their feelings on social media

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

RM950mil scrap metal tax evasion probe: MACC raids NationGate subsidiary

Electronics manufacturer says it is cooperating with authorities, taken steps to ensure operations remain unaffected after yesterday’s raid

Related