HEADLINES

Krisis politik Perlis: PAS gesa Bersatu ambil tindakan ke atas 5 Adun

Tuan Ibrahim turut menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS agar kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang hanya menguntungkan pihak lawan

8:39 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – PAS telah mengambil tindakan tegas terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Perlis, kini Bersatu juga wajar melakukan perkara sama kepada Adunnya yang terlibat menandatangani akaun bersumpah (SD) sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni di Perlis.

Gesaan dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan langkah berkenaan adalah penting sebagai tanda hormat rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) serta memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.

“PAS telah mengambil tindakan tegas terhadap tiga orang Adun PAS kerana parti ini tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah dan walaupun keputusan ini mungkin membawa risiko terhadap kestabilan kerajaan Perlis, PAS berpandangan bahawa prinsip dan integriti parti mesti diutamakan mengatasi kepentingan jangka pendek.

“Tindakan ini berdasarkan kepada perbandingan kepada masalah di Nenggiri sebelum ini yang menyaksikan Bersatu ketika itu telah menghentikan keahlian Adun Nenggiri kerana menyokong Perdana Menteri sehingga membuka ruang kepada Pilihan Raya Kecil (PRK), sedangkan tindakan berkenaan berlaku tanpa melibatkan SD.

“Berbanding dengan Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius dan memberi kesan langsung kepada keutuhan kerajaan PN,’’ katanya dalam kenyataan.

Tuan Ibrahim juga berkata, sebagai rakan dalam gabungan utama PN, PAS yakin Bersatu akan bertindak secara konsisten dan tegas, selaras dengan semangat Akta Anti Lompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat.

“Dalam suasana ini, saya menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS agar kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Adun PN di Perlis didakwa telah bertemu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Berikutan itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan keahlian tiga Adun PAS terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Mereka ialah Adun Chuping Saad Seman, Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim.

Semalam, Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan.

Beliau berkata peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa sehingga diperkenan Tuanku Syed Sirajuddin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, PN memenangi 14 kerusi DUN negeri Perlis, terdiri daripada sembilan Adun PAS dan lima Adun Bersatu, manakala seorang Adun PKR bagi Indera Kayang. – 26 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related