KUALA LUMPUR – Penyanyi rap kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, bakal mengemukakan representasi dalam tempoh seminggu bagi mengkaji dua pertuduhan serius melibatkan dadah dan bahan terlarang sildenafil.
Peguamnya, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor, memaklumkan perkara itu kepada Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, sekali gus memohon tarikh baharu ditetapkan untuk pihak pendakwaan memberi maklum balas. Mahkamah kemudian menetapkan 8 April sebagai tarikh sebutan semula kes.
Namewee, 43, didakwa memiliki 1.57 gram methamphetamine dan 0.78 gram sildenafil di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober tahun lalu. Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun bagi pertuduhan dadah, serta denda RM50,000 atau penjara lima tahun bagi pertuduhan racun.
Tahun lalu, beliau pernah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan selepas keputusan patologi menunjukkan hasil ujian negatif. – 5 Mac, 2026
