HEADLINES

“Brother, kalau nak minta kawan beri hormat, kenalah hormat juga kawan..simple”, kata Afnan tempelak Bersatu

Ketua Pemuda PAS menegur tindakan rakan gabungan PN yang mahu partinya akur kepada ketetapan pelantikan pengerusi baharu, sambil mengingatkan insiden terdahulu yang dianggap tidak menghormati keputusan bersama

8:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) berlanjutan apabila Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, mempersoalkan sikap rakan gabungan yang mahu partinya menghormati ketetapan berhubung pelantikan pengerusi baharu.

Afnan, yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, berkata permintaan itu tidak selari dengan sikap ditunjukkan sebelum ini, khususnya ketika pengumuman calon tunggal Perdana Menteri daripada Bersatu.

Beliau turut mengingatkan insiden lima Adun Perlis menandatangani akuan bersumpah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, yang datang daripada PAS.

“Masa kamu umumkan pemimpin parti kamu sebagai calon tunggal untuk jadi Perdana Menteri, ada kamu hormat ketetapan parti rakan? Umum pulak di depan batang hidung kawan dalam majlis yang kamu jemput kawan datang jadi tetamu. Waktu itu ada kamu hormat kawan?

Masa orang parti kamu tandatangan SD di Perlis baru-baru ni, menjatuhkan Menteri Besar dari parti rakan, mengkhianati kawan, ada kamu hormati pendirian dan ketetapan parti rakan?

Kena kat kawan tak apa, tak perlu hormat. Bila kena kat diri sendiri, baru desak supaya kawan hormat diri kita. Betulkah begitu?

Brother, kalau nak minta kawan beri hormat, kenalah hormat juga kawan. Simple (Mudah),” katanya dalam muat naik di Facebook, hari ini.

Hari ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pula menggesa PN mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) selaras perlembagaan gabungan itu.

Abdul Hadi, yang juga Timbalan Pengerusi PN, melalui surat bertarikh 10 Januari 2025, menyatakan mesyuarat itu perlu bagi mengesahkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Beliau menekankan gesaan itu dibuat demi kelangsungan PN, selain memastikan pelantikan pengganti dapat dilakukan segera.

September lalu, Bersatu menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11, yang diluluskan sebulat suara pada Perhimpunan Agung Tahunan parti berkenaan.

PAS bagaimanapun melihat langkah itu sebagai melangkaui proses sepatutnya kerana keputusan berkenaan seharusnya dibuat oleh MT PN, memandangkan gabungan itu terdiri daripada empat komponen yang mempunyai hak sama rata dalam perbincangan dan membuat keputusan. – 11 Januari, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related