KUALA LUMPUR — Wisma Putra mengesahkan pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan gagal dikesan semasa transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lepas, didapati telah meninggalkan kawasan lapangan terbang berkenaan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pengesahan itu diterima daripada pihak Imigresen Arab Saudi oleh konsulat Malaysia di Jeddah.
“Kini selepas 20 jam beliau gagal dikesan, (kes beliau) sudah boleh diklasifikasikan sebagai orang hilang dan saya dah arahkan pejabat konsulat Malaysia untuk buat yang terbaik membantu usaha pencarian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini hari ini, dilaporkan Bernama.
Mohamad berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kehilangan pelakon filem “Syaitan Munafik” itu yang gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, pada Khamis.
Semalam, media melaporkan Nadia gagal dikesan selepas tiba di Jeddah.
Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah dilaporkan berkata kehilangan Nadia menimbulkan tanda tanya apabila bagasi tangan miliknya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
“Saya difahamkan sekarang ni kita dah jumpa beg dia, ‘hand luggage’ dah jumpa, jumpa di lapangan terbang Jeddah. Beg ada, tapi dia tak ada. Diri dia tak ada. Difahamkan, beg berwarna merah itu ditemui malam tadi oleh pihak berkaitan di sana (Jeddah),” katanya memetik Berita Harian.
Menurut Anne, Nadia tiba di Jeddah sekitar jam 6 pagi dan dijadualkan menaiki penerbangan ke London dua jam kemudian.
Namun, ketika pemeriksaan dilakukan oleh agensi pelancongan, Nadia didapati tidak muncul di pintu pelepasan walaupun pengumuman dibuat berulang kali.
Kali terakhir Nadia berhubung adalah pada pagi kejadian untuk memaklumkan ketibaannya di Jeddah. Selepas itu, tiada lagi komunikasi.
Mohamad hari ini berkata konsulat Malaysia mempunyai kerjasama baik dengan pihak polis Arab Saudi bagi memastikan usaha pencarian berjalan lancar.
“Kita mesti percaya akan kecekapan mereka (polis Arab Saudi) dan kita minta supaya pihak keluarga bertenang dan kita akan terus berusaha sebaik mungkin untuk mencari beliau,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan pihak agensi pelancongan yang membawa Nadia juga perlu bertanggungjawab untuk menguruskan kes kehilangan pelakon berkenaan. – Januari 17, 2026
