KUALA LUMPUR – PAS Kedah tidak perlu terlalu gelisah atau defensif terhadap sebarang sasaran politik yang diletakkan oleh Umno Kedah, kata Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazzy Zainol Abidin.
Malah, kata Shaiful, reaksi berlebihan yang ditunjukkan hanya mengesahkan satu perkara, wujud kegusaran sebenar terhadap kebangkitan semula Umno di negeri itu.
“Daripada terus ‘overthinking’ dan cuba membaca setiap gerak kerja Umno Kedah, adalah lebih baik Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) menumpukan perhatian kepada masalah sebenar dalam rumah tangga politiknya sendiri.
“Hubungan PAS–Bersatu yang kononnya kukuh kini semakin jelas menunjukkan tanda-tanda keretakan dan keletihan, dan rakyat sedang memerhati dengan mata terbuka,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Sanusi yang merupakan Menteri Besar Kedah menyifatkan keyakinan Umno untuk kembali memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah sekiranya bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai tidak berasaskan fakta dan rekod sebenar pilihan raya terdahulu.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, rekod PRU 2018 menunjukkan Umno yang bertanding secara bersendirian ketika itu hanya mampu memenangi tiga kerusi DUN di negeri itu.
Sanusi berkata demikian susulan kenyataan Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada Perhimpunan Agung Umno 2025 yang menyifatkan parti itu mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi di Kedah pada PRU16 sekiranya bertanding secara solo.
Ahmad Bashah berkata, keyakinan itu adalah susulan orang Melayu dilihat menunjukkan sokongan semula kepada kepimpinan Umno setelah pengundi mengakui kesilapan lalu.
Mengulas lanjut, Shaiful berkata, Umno Kedah tidak bermain politik murahan, politik emosi atau politik tunggangan sentimen.
Politik sandiwara, katanya mungkin masih laku dalam kalangan penyokong tegar, tetapi realitinya rakyat Kedah hari ini semakin bijak menilai antara retorik dan prestasi.
“Angka boleh dimanipulasi, sentimen boleh ditiup, tetapi kegagalan mentadbir tidak boleh disorok selama-lamanya.
“Walaupun Umno Kedah sedar cabaran yang ada bukan kecil, parti ini yakin dengan agenda pembaharuan, hala tuju baharu serta kepimpinan Presiden yang membawa pendekatan lebih realistik, berprinsip dan berasaskan kerja serta bukan laungan kosong,’’ katanya.
Beliau memberitahu, kegagalan kepimpinan negeri untuk mempertahankan prestasi barisan Exco sendiri cuba ditutup dengan serangan politik terhadap Umno.
Hakikatnya, kata Shaiful, rekod pencapaian kerajaan negeri Kedah hari ini semakin dipersoalkan dari tadbir urus, pembangunan, hinggalah kebajikan rakyat dan bukan persepsi, tetapi realiti yang dirasai di lapangan.
“Umno Kedah tidak perlu menjerit untuk didengari. Kami bekerja. Kami menyusun. Kami kembali dengan tawaran politik yang lebih matang, stabil dan berdaya saing. Politik menakut-nakutkan rakyat dan bermain sentimen sempit sudah sampai ke penghujungnya,’’ katanya. – 19 Januari, 2026
