HEADLINES

Namewee mengaku tidak bersalah miliki dadah, ubat jenis Sildenafil

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

2:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan tambahan memiliki ubat jenis Sildenafil di sebuah hotel, tahun lepas.

Namewee, 43, didakwa memiliki bahan jenis Sildenafil berat bersih 0.78 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay di sini pada 4.30 petang, 22 Okt tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan memiliki dadah jenis Methamphetamine dengan berat bersih 1.57 gram pada lokasi, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dengan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan kes dan mengekalkan jaminan RM2,000 yang ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal manakala peguam Joshua Tay mewakili Namewee.

Pada 22 Dis tahun lepas, Majistret S.Arunjothy melepas dan membebaskan Namewee daripada pertuduhan memberikan dadah ke dalam badannya, selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa keputusan patologi adalah negatif dan pihaknya menarik balik pertuduhan tersebut. – 19 Januari, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

OCM in the spotlight again: Skechers collab draws flak after brand linked to Israel

With shoe sponsorship amounting to almost RM200,000, Datuk Nazifuddin Najib says sports should be free from any agenda as the aim is to provide comfort to athletes

Related