HEADLINES

Akta Pekerja Gig 2025 dikuatkuasa Mac ini: Ramanan

Kerajaan sahkan akta baharu akan mula berkuat kuasa selewat-lewatnya penghujung Mac, dengan mekanisme pelaksanaan termasuk majlis perundingan dan tribunal dimuktamadkan

3:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) akan mula dikuatkuasakan selewat-lewatnya penghujung Mac ini selepas semua mekanisme pelaksanaan termasuk majlis perundingan, tribunal dan pejabat berkaitan dimuktamadkan.

Beliau berkata struktur keanggotaan majlis perundingan pekerja gig akan diumumkan kemudian, dengan keutamaan diberikan kepada platform besar seperti Grab yang melibatkan sebahagian besar tenaga kerja gig di negara ini.

(Empat dari kiri) Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan semasa lawatan ke Kampus Rakan Grab di sini hari ini. – Gambar Grab Malaysia, 26 Januari, 2026

“Struktur keanggotaan itu bagi sedikit masa, kami akan umumkan…memang kita perlu berikan keutamaan kepada beberapa pihak terutamanya mereka yang terlibat dalam skala besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampus Rakan Grab di sini hari ini.

Akta yang diwartakan pada 31 Disember lalu bertujuan memperjuangkan perlindungan sosial, hak kebajikan dan maruah pekerja gig, selain memberi perlindungan setara dengan pekerja formal kepada lebih 1.2 juta tenaga kerja gig di Malaysia.

Ramanan turut memaklumkan bahawa Grab telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 15 peratus bagi semua pekerja gig berdaftar, berbanding 10 peratus sebelum ini.

Selain itu, Grab juga akan menyediakan latihan serta program peningkatan kemahiran kepada 5,000 pekerja tahun ini dengan sokongan pembiayaan kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Mengenai isu kawal selia pendapatan pekerja gig, Ramanan menegaskan kadar gaji minimum nasional sebanyak RM1,700 kekal sebagai dasar asas, manakala pengendalian gaji penghantar tertakluk kepada platform masing-masing.

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Edward Ling; Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan merakam kenangan bersama komuniti Grab Malaysia selepas merasmikan Kampus Rakan Grab di sini hari ini. – Gambar Grab Malaysia, 26 Januari, 2026

Beliau menolak cadangan menetapkan kadar harga lantai seragam bagi semua platform kerana ia boleh menekan syarikat e-hailing yang masih bergelut untuk membuat keuntungan.

“Banyak berpendapat kalau kita jaga pekerja dengan baik, semuanya akan okey. Memang itulah perkara yang biasa dilakukan tetapi seperti yang saya maklum kepada semua pegawai kanan kementerian, kita perlu ada keseimbangan,” katanya. – 26 Januari, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related