HEADLINES

Rampasan Ops Tiris hampir RM179 juta: KPDN

Analisis mengikut komoditi mendapati petrol, diesel dan minyak masak kekal sebagai barangan kawalan yang paling kerap cuba diselewengkan

2:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendedahkan hampir RM179 juta nilai rampasan diperoleh hasil penguatkuasaan Ops Tiris sejak 2024 hingga Januari 2026 mencerminkan skala ketirisan barangan kawalan bersubsidi yang berjaya dibanteras.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata jumlah itu merangkumi rampasan bernilai RM91.59 juta pada 2024, RM81.69 juta pada 2025 serta RM5.73 juta bagi tempoh Januari 2026 hasil penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, Ops Tiris 3.0 menyaksikan sebanyak 93,887 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara, merekodkan 5,269 kes dan 660 tangkapan.

“Walaupun nilai rampasan adalah besar, statistik menunjukkan keberkesanan strategi penguatkuasaan apabila jumlah kes menurun sebanyak 14.2 peratus pada 2025 berbanding 2024, manakala nilai rampasan turut mencatatkan penurunan 10.8 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang, di sini hari ini.

Azman berkata bagi Januari tahun ini, sebanyak 3,237 pemeriksaan telah dijalankan, mencatatkan 183 kes, 39 tangkapan serta rampasan bernilai RM5.73 juta.

Analisis mengikut komoditi mendapati petrol, diesel dan minyak masak kekal sebagai barangan kawalan yang paling kerap cuba diselewengkan, namun menunjukkan trend penurunan sejak 2025.

“Kes melibatkan petrol menurun daripada 969 kes pada 2024 kepada 797 kes pada 2025, manakala 49 kes direkodkan pada awal 2026. Kes diesel pula menurun daripada 744 kepada 503 kes, manakala kes minyak masak berkurang daripada 479 kepada 404 kes,” katanya.

Selain pendakwaan dan kompaun, tindakan tegas yang turut diambil termasuk penarikan serta penggantungan lesen borong dan runcit, selain penggantungan kuota Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) terhadap syarikat pembungkus yang melanggar peraturan.

Pada peringkat rantaian bekalan, beliau berkata audit forensik dilaksanakan ke atas syarikat pembungkus dengan sokongan pemantauan masa nyata melalui sistem eCOSS yang dinaik taraf serta penggunaan aplikasi mudah alih eCOSS secara rintis pada peringkat runcit.

Azman berkata KPDN turut mempergiat pemeriksaan di stesen minyak bagi memastikan pematuhan penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah Program BUDI MADANI RON95, termasuk larangan penjualan kepada kenderaan berpendaftaran asing serta kawalan ketat di stesen berhampiran sempadan.

“Pendigitalan penguatkuasaan diperkukuh melalui penggunaan kad flit di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi yang merekodkan setiap transaksi secara masa nyata,” katanya.

Walaupun jumlah kes, nilai rampasan dan aduan menunjukkan trend penurunan, KPDN berpandangan masih terdapat ruang penambahbaikan bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan ketirisan dapat dibanteras dengan lebih berkesan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata KPDN akan menggubal peraturan larangan pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh bukan warganegara yang disasarkan berkuat kuasa mulai 1 Mac depan, selain memperkenalkan peraturan baharu melarang pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing bermula 1 April tahun ini. – 1 Februari, 2026

Topics

 

Hangat

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related