KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Caprice berkata tidak salah untuk sesiapa pun menghubungi pegawai atau menteri bagi mencadangkan mengenai idea sebaliknya yang salah adalah mereka yang meroyan di media sosial.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata demikian bagi menjawab kenyataan Datuk Seri Rafizi Ramli baru-baru ini bahawa selebriti itu pernah mengejarnya semasa beliau menjawat jawatan Menteri Ekonomi menerusi pegawainya.
Menurut Caprice, beliau sebelum ini pernah menghantar cadangan kepada kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan yang lain malah banyak pegawai menteri memberikan kerjasama yang baik kepadanya.
“Ni baru nama dia propose. Bukan semata untuk job, tapi untuk share ideas, collaborations, and launchings. Alhamdulillah banyak pegawai menteri beri kerjasama yang baik sebelum ni.
“Bagi cap, ape salah contact pegawai? Tu lah function mereka hulur contact number dan name card. Yang salah apabila orang tu dapat job, gagal, lepas tu meroyan di social media,’’ katanya menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.
Pada Isnin, Rafizi mendakwa Caprice pernah menghantar mesej pada 4 Januari 2024 untuk berjumpa dengan pegawainya dengan menyebut mengenai sistem subsidi yang pernah dibentang kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Rafizi berkata, ketika itu, Kementerian Ekonomi sedang merangka dasar penyelarasan semula subsidi.
Bagaimanapun Rafizi memberitahu, permintaan itu tidak dilayan. Beliau juga menyatakan pempengaruh itu masih mengejar pegawainya sehingga 4 Mei 2025.
Dalam pada itu, Caprice berkata, beliau pernah berurusan dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan untuk memberikan idea dan cadangan namun tidak pernah dibiarkan menunggu oleh pegawai pejabat tersebut.
Malah katanya, beliau turut membina aplikasi Islamik bersama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dilancarkan dengan jayanya.
Justeru Caprice berkata, sebelum melabel beliau sebagai pempengaruh yang ‘mati-mati mencari job’ beliau meminta Rafizi membuat penyelidikan terlebih dahulu.
“Rafizi Ramli kata cap mati-mati cari job dekat kementerian dia. Bukti dia? Sebab cap whatsapp ajak kopi dengan pegawainya. Nah….ini baru namanya pitch/proposal,’’ katanya.
Rafizi juga sebelum ini menyatakan beliau akan meneruskan saman terhadap Caprice kerana tuduhan beliau mempunyai kepentingan manfaat dalam Invoke Solutions Sdn. Bhd.
Tegas Rafizi, Caprice sudah diberikan ruang untuk memohon maaf dan memberikan penjelasan namun gagal berbuat demikian. – 24 Februari, 2026
