KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang, Fahmi Zainol, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencederakan isterinya dalam satu insiden keganasan rumah tangga, minggu lalu.
Fahmi, 34, yang juga Adun Pantai Jerejak daripada PKR, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut kertas pertuduhan, Fahmi sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar di kediaman mereka di Bayan Lepas, jam 10 pagi, 22 Februari 2026.
Beliau dibicarakan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A (kecederaan terhadap pasangan) dan jika sabit kesalahan berdepan hukuman penjara dua tahun, denda RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Fahmi Zainol merupakan figura muda penting dalam pentadbiran Ketua Menteri Chow Kon Yeow, memegang portfolio Agrokultur, Industri Makanan, dan Pembangunan Luar Bandar.
Beliau yang juga bekas aktivis mahasiswa UM mula mendapat tempat dalam barisan kepimpinan negeri selepas memenangi kerusi DUN Pantai Jerejak pada PRN lalu.
Pendakwaan terhadap seorang anggota kanan kerajaan negeri ini dijangka akan memberi tekanan politik kepada pimpinan PKR dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung kedudukan jawatan eksekutif beliau sepanjang proses perbicaraan berlangsung. – 27 Februari, 2026
