KUALA LUMPUR – Penggunaan istilah ‘melalak’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait isu penghinaan terhadap al-Quran mesti difahami dalam konteks sebenar dan tidak dipetik secara terpisah bagi membentuk persepsi yang mengelirukan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, istilah itu merujuk kepada sikap segelintir pihak yang tergesa-gesa menuduh kerajaan kononnya gagal bertindak, sedangkan proses siasatan dan penguatkuasaan sedang dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.
Menurut Muhammad Kamil, kenyataan Perdana Menteri itu bukanlah serangan terhadap mana-mana individu atau kelompok.
Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan peringatan tegas bahawa tuduhan melulu, tohmahan tidak berasas dan permainan persepsi politik hanya akan mengeruhkan suasana serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara.
“Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia memandang serius polemik yang sengaja diperbesarkan berhubung penggunaan istilah ‘melalak’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu hantaran media sosial berkaitan isu penghinaan terhadap al-Quran.
“Hakikatnya, individu yang terlibat dalam perbuatan menghina al-Quran telah ditahan dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.
“Fakta ini dengan jelas membuktikan kerajaan tidak berdiam diri. Malaysia adalah sebuah negara hukum, setiap tindakan mesti berlandaskan peruntukan undang-undang, bukan tekanan emosi, desakan politik atau tuntutan bersifat populis,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Kamil memberitahu, dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan keharmonian antara kaum, tindakan yang tergesa-gesa tanpa proses sah bukan sahaja mencabul prinsip keadilan, malah berpotensi mencetuskan ketegangan yang lebih besar.
Ujar beliau, ketegasan mesti disertai kebijaksanaan dan keadilan mesti ditegakkan melalui proses yang telus serta profesional.
“Justeru, AMK menolak sebarang naratif yang cuba menggambarkan kerajaan sebagai lemah atau tidak bertindak.
“Kenyataan Perdana Menteri harus dilihat sebagai teguran terhadap budaya politik yang gemar membakar sentimen sebelum fakta lengkap diperoleh, bukannya usaha meremehkan kebimbangan rakyat,’’ katanya.
Sehubungan itu, AMK menyeru semua pihak agar menghentikan manipulasi isu ini demi kepentingan politik sempit dan ruang sewajarnya perlu diberikan kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan tanpa tekanan atau campur tangan yang boleh mengganggu proses keadilan.
Menurut Muhammad Kamil, sebagai sebuah negara majmuk, kestabilan dan keharmonian nasional tidak boleh dikorbankan demi retorik murahan yang mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman.
“AMK akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang serta menyokong segala usaha kerajaan dalam memastikan keamanan, keharmonian dan maruah negara sentiasa terpelihara,’’ katanya.
Semalam, Perdana Menteri dilapor menggunakan perkataan itu bagi menyangkal dakwaan kononnya tiada tindakan diambil terhadap individu yang didakwa memijak al-Quran.
Pada 25 Feb lepas, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran. – 2 Mac, 2026

