HEADLINES

Di sebalik larangan media sosial, satu per lima remaja Australia masih guna TikTok, Snapchat

Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kaedah sekatan umur yang digunakan

10:44 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Satu per lima daripada remaja Australia di bawah umur 16 tahun masih menggunakan media sosial, kira-kira dua bulan selepas negara tersebut melarang platform membenarkan akses kepada golongan bawah umur.

Memetik laporan Reuters, ia berdasarkan data industri sekali gus menimbulkan persoalan tentang keberkesanan kaedah sekatan umur yang digunakan.

Bilangan remaja berumur 13 hingga 15 tahun yang menggunakan TikTok dan Snapchat, antara aplikasi media sosial paling popular di kalangan remaja Australia, menurun dari sebelum larangan berkuat kuasa pada Disember hingga Februari.

Bagaimanapun laporan itu menyebut, masih lebih 20% menggunakan aplikasi tersebut, menurut laporan daripada pembuat perisian kawalan ibu bapa Qustodio yang diberikan kepada Reuters.

Data itu merupakan antara yang pertama menunjukkan kesan larangan tersebut terhadap tingkah laku dalam talian golongan muda sejak Australia melaksanakan larangan berkenaan, dan kini dicontohi oleh kerajaan di seluruh dunia.

Kerajaan Australia dan sekurang-kurangnya dua universiti menjalankan kajian menjejaki impak larangan tersebut namun tiada data yang diterbitkan setakat ini.

“Dalam kalangan kanak-kanak yang ibu bapa mereka tidak menyekat akses, sebilangan besar masih terus menggunakan platform yang terhad, dalam beberapa bulan selepas larangan,” kata Qustodio dalam laporan itu, berdasarkan data yang dikumpul dari penghujung 2024 hingga Februari.

Menerusi larangan yang dikuatkuasa itu, platform termasuk Instagram, Facebook, Threads (Meta), YouTube (Google), TikTok dan Snapchat mesti menyekat pengguna berumur bawah 16 tahun atau berdepan denda sehingga A$49.5 juta (US$35 juta).

Pengawal selia internet, Suruhanjaya eSafety, berkata ia akan memberi masa kepada platform untuk menyesuaikan diri dan hanya akan mengambil tindakan penguatkuasaan untuk ketidakpatuhan sistemik.

Pegawai eSafety dan Menteri Komunikasi tidak dapat memberikan komen segera. Wakil Snapchat juga tidak dapat dihubungi, manakala jurucakap TikTok menolak untuk mengulas.

Data Qustodio menunjukkan bilangan pengguna Australia berumur 13-15 tahun menggunakan Snapchat menurun sebanyak 13.8 mata peratusan kepada 20.3% dari November hingga Februari, manakala penggunaan TikTok dalam kumpulan umur yang sama menurun 5.7 mata peratusan kepada 21.2%.

Bilangan pengguna YouTube dalam kumpulan umur itu menurun satu mata peratusan kepada 36.9%, walaupun data tidak menyatakan sama ada pengguna log masuk ke akaun. Larangan Australia membenarkan semua peringkat umur menggunakan YouTube tanpa perlu log masuk.

Penggunaan media sosial remaja Australia biasanya menurun pada Disember dan Januari kerana cuti sekolah musim panas yang panjang, tetapi data menunjukkan penurunan lebih mendadak berbanding tahun sebelumnya, mencadangkan bahawa larangan itu memberi kesan, menurut Qustodio.

Namun, “penurunan yang dilihat pada Disember-Januari mula pulih secara perlahan,” tambah laporan itu.

Kebimbangan bahawa remaja mungkin beralih ke platform tidak terkawal tidak berlaku, menurut data, walaupun WhatsApp mencatatkan sedikit peningkatan penggunaan dalam kalangan remaja berumur 13-15 tahun. – 13 Mac, 2026

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

Related