KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk memulakan prosiding bagi mencabar kesahihan beberapa ordinan berkaitan minyak dan gas yang terpakai terhadap operasi syarikat itu di Sarawak.
Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah yang bersidang sebagai hakim tunggal berkata beliau berpuas hati bahawa Petronas telah berjaya melepasi ambang peruntukan bagi membolehkan permohonan dibenarkan dan kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan dalam bidang kuasa asalnya.
“Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, jelas bahawa terdapat isu yang boleh dipertikaikan dan permohonan kebenaran ini bukan sesuatu yang remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah.
““Pemohon diberikan kebenaran untuk memulakan prosiding tersebut dalam tempoh 21 hari dari tarikh hari ini,” katanya.
Pada Januari lepas, Petronas memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap Kerajaan Negeri Sarawak mengikut Perkara 4(3), 4(4), dan 128(1) Perlembagaan Persekutuan melalui petisyen.
Syarikat minyak dan gas negara itu mencabar bidang kuasa legislatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak untuk menggubal undang-undang tertentu dan menuntut beberapa undang-undang yang digubal negeri itu diisytiharkan tidak sah.
Antara peruntukan yang dicabar termasuk Seksyen 7, 7A dan 8 Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 (DGO) Sarawak, Seksyen 3 Ordinan Tafsiran Sarawak 2005, Seksyen 2 Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58), Seksyen 2 Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi Sarawak 1998 dan Seksyen 2 Kod Tanah Sarawak 1958.
Petronas mendakwa DUN Sarawak tidak mempunyai kuasa untuk menggubal, meminda atau mengubah suai undang-undang yang berada di bawah Senarai Persekutuan (Senarai 1) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, peguam Petronas Datuk Dr Cyrus Das dan Khoo Guan Huat berhujah bahawa syarikat itu mempunyai kes yang boleh dipertikaikan mengenai kekurangan kuasa legislatif DUN Sarawak untuk menggubal undang-undang yang dicabar.
Das menegaskan bahawa kuasa legislatif DUN Sarawak di bawahPerintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa-Kuasa Perundangan) 1963 yang dibaca bersama Pindaan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan terhad kepada pengagihan gas dalam negeri dan tidak merangkumi aktiviti atau aspek lain dalam kitar hayat petroleum.
Selain itu, Das berkata sebarang undang-undang yang bertujuan melaksanakan atau memberi kesan pelaksanaan terhadap perjanjian, konvensyen, atau traktat antarabangsa akan bercanggah dengan Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Besar Sarawak Datuk Seri Saferi Ali membantah permohonan itu dengan menyatakan Petronas gagal memenuhi ambang membuktikan kes yang boleh dipertikaikan.
Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak Datuk Seri J.C Fong, berhujah bahawa permohonan kebenaran harus ditolak kerana negeri tidak mencerobohi kuasa Persekutuan. Beliau menegaskan hujah dalam permohonan itu tidak mencukupi untuk menunjukkan kes yang boleh dipertikaikan dan permohonan itu adalah remeh.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang mewakili Kerajaan Persekutuan memberitahu mahkamah bahawa kerajaan tidak membantah permohonan kebenaran Petronas.
Beliau berkata alasan Petronas telah memenuhi syarat untuk dibenarkan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan wujud isu yang boleh dipertikaikan yang memerlukan pendengaran lanjut. – 16 Mac, 2026
