KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberikan penjelasan terperinci mengenai kehadiran aset tentera laut Amerika Syarikat (AS) di perairan negara.
Perkara ini disuarakan Perikatan Nasional (PN) selepas akhbar New Straits Times semalam melaporkan dua kapal tempur pesisir milik AS dilihat berlabuh di Terminal Kontena Butterworth Utara pada Ahad.
Kapal-kapal yang dikonfigurasikan untuk tugas pembersihan ranjau itu sebelum ini ditempatkan di Timur Tengah.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin berkata kedua-dua kapal tersebut mematuhi prosedur yang ditetapkan, namun Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata keadaan ini berpotensi menimbulkan persepsi yang bercanggah dengan pendirian berkecuali Malaysia.
Takiyuddin menjelaskan PN mengalu-alukan penegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa prinsip negara tidak terlibat dengan konflik itu selaras dengan komitmen Malaysia terhadap dasar berkecuali, keamanan dan kestabilan serantau.
Namun, katanya, kehadiran aset tersebut di perairan negara menimbulkan persoalan sama ada Malaysia berperanan memudah cara atau terlibat secara tidak langsung dalam operasi ketenteraan berkait konflik negara luar.
“Sehubungan itu, PN menggesa kerajaan memberikan penjelasan yang tuntas dan telus mengenai kehadiran, tujuan serta status aset berkenaan.
“Sama ada ia dalam transit ke atau dari penugasan operasi di kawasan seperti Selat Hormuz — dan bagaimana perkara ini selaras dengan dasar berkecuali negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Takiyuddin, kredibiliti Malaysia amat bergantung pada keselarasan antara prinsip yang disuarakan dengan pelaksanaan sebenar di lapangan.
Sementara itu, Khaled terdahulu berkata kedua-dua kapal tersebut mematuhi protokol rasmi negara berkaitan lawatan seperti itu.
Katanya, kapal tentera laut di seluruh dunia lazimnya membuat persinggahan di pelabuhan bagi tujuan logistik seperti pengisian semula bekalan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Pelabuhan Malaysia kerap menerima kunjungan kapal tentera laut asing berikutan kepentingan strategik Selat Melaka.
Kunjungan terkini termasuk kapal tentera laut Korea Selatan, ROKS Kang Gam-chan pada Mac, kapal tentera laut Rusia pada Februari, serta sebelum ini kapal pengangkut pesawat tentera laut AS seperti USS Nimitz, USS Carl Vinson dan USS Abraham Lincoln. – 18 Mac, 2026
