HEADLINES

Sebarang anasir ancam perpaduan mesti dibanteras tanpa kompromi: Agong

Perutusan Aidilftiri 2026 YDPA mengulangi nasihat yang pernah diberikan dalam perutusan tahun lepas yang nampaknya sudah dilupakan oleh orang ramai

10:54 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Sebarang anasir yang mengancam perpaduan rakyat mesti dibanteras tanpa kompromi, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Dalam Perutusan Aidilftiri 2026 yang dikongsi menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah mengulangi nasihat itu yang pernah diberikan dalam perutusan tahun lepas, yang nampaknya sudah dilupakan oleh orang ramai atau dibuat tidak endah.

“Ia bukan sekadar tindakan undang-undang atau perbincangan antara pemimpin masyarakat ketika timbulnya guris hati dan amaran, tetapi juga dalam penerapan amalan peradaban seharian dalam kalangan rakyat, ia mesti dipupuk serta sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa,” titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda bertitah mengingatkan rakyat Malaysia agar jangan melupakan lima prinsip Rukun Negara yang juga menyatakan prinsip “Kesopanan dan Kesusilaan”.

“Di manakah kekurangan kita mendidik rakyat berkenaan perkara asas adab ini hingga ada yang begitu beracun dan kurang ajar sudut pandang serta kelakuannya hingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim mengingatkan kembali mengenai isu stokin tertera kalimah Allah, bendera negara dikibarkan terbalik, perbuatan memijak al-Quran, golongan yang kurang ajar di masjid, serta mulut dan jari celupar yang sewenang-wenangnya mengapi-apikan kebencian, kemarahan dan perpecahan.

“Kita tidak boleh terima orang yang kurang ajar, sama ada antara kaum masyarakat yang berbeza, mahupun dalam kalangan satu jenis kaum itu sendiri,” titah Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong percaya sebahagian besar rakyat Malaysia tahu untuk membawa diri dengan adab yang baik dalam kehidupan seharian dan suara majoriti ini mesti mengatasi serta mendiamkan suara yang tidak beradab.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa rakyat Malaysia harus bersyukur dengan keamanan yang sedang dinikmati ketika negara lain mengalami peperangan, sambil mengingatkan kepada semua mengenai pepatah “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”.

Sultan Ibrahim bertitah pengurusan isu-isu sensitif oleh pihak berkuasa juga mesti berhemah dan mengambil kira semua aspek berkaitan, serta tiada ruang untuk kesilapan.

“Tunjukkan tindakan yang diambil itu benar, tegas dan tepat agar tidak menghakis kepercayaan kepada pentadbiran negara.

“Saya berharap nasihat ini tidak dilupakan dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak,” titah Seri Paduka Baginda.

Dalam meraikan Aidilfitri, Sultan Ibrahim bertitah mengajak umat Islam agar bersama-sama memanjatkan doa berterusan kepada Allah SWT agar nasib umat Islam di seluruh dunia, terutamanya mereka yang tertindas dalam kancah keganasan, dapat dipelihara serta dikurniakan kemenangan dan keamanan sejagat.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan umat Islam supaya tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik dan terus menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Semoga ibadah yang dilaksanakan sepanjang Ramadan menjadikan kita semua umat yang lebih istiqamah dan taat kepada Allah SWT,” titah Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut mendoakan semoga sekalian rakyat dan negara dilindungi daripada musibah, serta dikurniakan kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang kukuh, selain mengingatkan rakyat agar berhati-hati di jalan raya dan makan dengan berhemah. – 21 Mac, 2026

Topics

 

Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Prasarana cyberattack: hackers release 300GB of private files online after countdown ends

RansomHub published documents after public transportation company missed one-week deadline to pay unknown ransom amount

Is hibah still a safe option if courts can reverse it?

After court overturned a RM1 million takaful hibah, sparking confusion and concern among policyholders and the public, experts stress that it remains relevant if done properly

Related