KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas mereka yang masih menggunakan kenyataan yang dibuatnya pada 2008 mengenai harga minyak untuk dibandingkan dengan situasi semasa di mana dunia sedang berdepan dengan krisis tenaga.
Perdana Menteri memberitahu, kenyataan ‘hari ini menang, esok harga minyak turun’ diambil di luar konteks bagi membangkitkan sentimen dan cuba mengelirukan rakyat.
“Minyak hari ini melambung naik (tapi) dia ulang kenyataan saya ‘Hari ini menang, esok minyak turun’.
“Kenyataan itu dibuat ketika harga minyak di Arab Saudi adalah 50 sen ketika itu. Bayangkan ketika ini semua negara pengeluar minyak termasuk UAE menaikkan harga minyak sebab dibom.
“Tetapi kini harga kita adalah RM1.99, antara yang terendah di dunia, hanya dibandingkan dengan Brunei yang sedikit lebih rendah daripada kita,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga dan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford Kuala Kangsar, hari ini.
Anwar pernah berjanji akan menurunkan harga petrol sekiranya pembangkang ketika itu memenangi pilihan raya umum pada tahun 2008.
Mengulas lanjut, Anwar berkata , pihak berkenaan tidak mempedulikan fakta kebenaran dan ia hanya politik picisan yang memperbodohkan rakyat.
Anwar turut memberitahu hanya kerana beliau tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri, tidak bermakna menteri dan Menteri Besar juga perlu berbuat demikian.
Ini kerana, kata Anwar, itu adalah hak mereka dan ia tidak perlu dipertikaikan.
“Saya tidak ambil gaji tetapi elaun di Parlimen saya ambil. Guna pesawat kerajaan datang ke Ipoh, kereta kerajaan, cukup tiga tahun dah berjuta ringgit.
“Jangan pertikaikan menteri dan Menteri Besar ambil gaji yang sah. Jangan sebab Anwar tidak ambil gaji, mereka pun tidak boleh ambil. Yang kita tidak mahu ialah mencuri,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang teguran atau komentar berhubung pengurusan ekonomi negara, terutama membabitkan isu kenaikan harga minyak dunia, seharusnya dilakukan berdasarkan ilmu serta fakta yang tepat, dan bukannya sekadar kritikan kosong.
“Krisis ekonomi bukan di tangan kita walaupun saya lihat kadang-kadang jeritan pembangkang itu canggih. Seluruh dunia digemparkan dengan krisis, bukan sahaja krisis minyak dan gas, krisis ekonomi, bukan sahaja isu Selat Hormuz, tetapi seluruh pengeluaran minyak itu terjejas.
“Harga minyak naik, dikritik saya dan kerajaan. Padahal sedaya upaya kita ikhtiar, RON95 itu di antara paling rendah di dunia… Untuk petani, nelayan, pengangkutan awam, semua diberikan subsidi, satu bulan RM6 bilion. Jadi inilah masa kita bincang secara baik (melibatkan) parti kerajaan, parti pembangkang,” katanya. – 4 April, 2026
