HEADLINES

Peguam teliti komen Papagomo, akan putuskan tindakan : Fahmi

Fahmi berkata beliau menerima maklum balas daripada pelbagai pihak mengenai kenyataan terbaharu Wan Muhammad Azri itu dan akan mendapatkan nasihat peguamnya

6:17 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sedang meneliti komen yang dibuat Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai “Papagomo” di media sosial berhubung kes saman antara mereka yang diselesaikan semalam.

Fahmi berkata beliau menerima maklum balas daripada pelbagai pihak mengenai kenyataan terbaharu Wan Muhammad Azri itu dan akan mendapatkan nasihat peguamnya bagi mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran terhadap terma penyelesaian yang telah dicapai di mahkamah atau sebaliknya. 

“Semalam selesai dua kes daripada tiga dalam hal ini, yang mana pertama dengan Mohd Fauzan (Mohd Fauzan Madzlan) kedua dengan Wan Muhammad Azri dan ketiga dengan Ahmad Dusuki (Ahmad Dusuki Abd Rani).

“Kes pertama dan kedua telah selesai, namun malangnya dari petang semalam hingga lewat malam, saya telah dihubungi oleh pelbagai pihak yang telah mengambil tangkap layar beberapa komen dibuat oleh Wan Muhammad Azri dalam Facebook dan TikTok.

“Ini agak merunsingkan dan saya terkejut dengan kenyataan yang telah beliau (Wan Muhammad Azri) lakukan. Dengan bantuan rakan-rakan, saya telah kumpul kesemua kandungan yang telah Wan Muhammad Azri muat naik dalam pelbagai platform,” katanya kepada pemberita selepas prosiding perbicaraan kes samannya terhadap Ahmad Dusuki di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai perbicaraan hari ini, Fahmi berkata beliau selesai memberi keterangan dan beberapa saksi lain akan dikemukakan dalam perbicaraan yang dijangka selesai dalam tempoh dua hari.

Semalam, kes saman yang difailkan Fahmi terhadap Mohd Fauzan yang merupakan pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’ serta Wan Muhammad Azri diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini selepas pihak-pihak mencapai persetujuan untuk penyelesaian.

Bagaimanapun, tindakan undang-undang terhadap Ahmad Dusuki yang merupakan penceramah bebas diteruskan dengan perbicaraan selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 5 Sept 2023, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

Beliau mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.

Fahmi berkata kenyataan fitnah itu tidak berasas memandangkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan sebarang ucapan berbaur politik di ruang solat masjid berkenaan  seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

Is it costly for small businesses to obtain halal certification?

A restaurant owners’ group agrees it can be, while application guidelines show fee is not high but added costs lie in the process to achieve compliance

Related