KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai hidup dalam fantasi dan seolah cuba mengelirukan rakyat mengenai punca sebenar kenaikan harga minyak dunia, kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan.
Amidi berkata, Abdul Hadi yang mendakwa kerajaan tiada sebab untuk menaikkan harga minyak hanya kerana kapal Malaysia tidak disekat di Selat Hormuz adalah satu logik yang tersasar.
Jelasnya, faktor utama lonjakan harga minyak di pasaran global ketika ini disebabkan gangguan laluan perkapalan oleh tindakan Iran, selain faktor imbangan bekalan dan permintaan.
Katanya, walaupun Selat Hormuz menjadi laluan bagi 20% bekalan minyak dunia, baki 80% lagi yang melalui laluan lain tetap mengalami kenaikan harga yang mendadak.
“Ia secara jelas terkait dengan jumlah bekalan dihasilkan oleh negara pengeluar serta kos operasi yang meningkat.
“Laporan media menunjukkan terdapat penurunan sehingga 30 peratus pengeluaran minyak oleh negara-negara Teluk, yang memberikan kesan signifikan terhadap bekalan dunia.
Situasi inilah yang sebenarnya menaikkan harga minyak,” katanya menerusia satu kenyataan hari ini.
Kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Marang secara sedar atau tidak itu turut dipersoalkan Amidi.
Sementara itu, Amidi turut memetik ayat 42, Surah Al-Baqarah yang melarang perbuatan mencampuradukkan perkara yang benar dengan yang salah, atau menyembunyikan kebenaran.
Katanya, kegagalan memahami realiti ekonomi global hanya akan mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan rakyat.
“Abdul Hadi cuba memberikan gambaran kenaikan harga minyak adalah hasil kegagalan pengurusan kerajaan.
“Tindakan ini akhirnya akan menyemarakkan kebencian dan kemarahan yang boleh menggugat kestabilan politik negara, yang mana ia hanya akan menguntungkan politik sempit PAS,” katanya lagi. – 9 April, 2026
