HEADLINES

Konsep ‘car pool’ syarikat e-hailing undang kesan buruk kepada komuniti pemandu: NeHDA

NeHDA berkata dengan membawa beberapa penumpang asing yang tidak dikenali dalam satu perjalanan bukan sahaja meningkatkan risiko keselamatan malah menambah tekanan mental kepada pemandu dalam menguruskan logistik pengambilan dan penghantaran di lokasi berbeza

4:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun konsep ‘car pool’ dalam perkhidmatan e-hailing dilihat sebagai usaha murni untuk mengurangkan kos sara hidup pengguna namun pelaksanaan tanpa kawal selia yang ketat bakal mengundang kesan buruk kepada komuniti pemandu.

Persatuan Pemandu eHailing Utara (NeHDA) dalam kenyataannya berkata, ini kerana isu berkenaan melibatkan lapisan kompleks yang menyentuh aspirasi kerajaan, kelangsungan pendapatan pemandu dan dominasi pasaran oleh Operator E-Hailing (eHO).

Jelas NeHDA, konsep car pool sinonim dengan kadar tambang yang lebih rendah dan tanpa penyelarasan struktur komisen yang adil, pemandu terpaksa menanggung beban kerja yang lebih tinggi iaitu mengambil penumpang lebih ramai.

Namun, katanya, dengan margin keuntungan yang semakin mengecil, ditambah kenaikan kos penyelenggaraan kenderaan dan harga alat ganti yang kian meningkat, ia memberi ancaman kepada pendapatan serta kebajikan pemandu.

“Selain itu, membawa beberapa penumpang asing yang tidak dikenali dalam satu perjalanan bukan sahaja meningkatkan risiko keselamatan malah menambah tekanan mental kepada pemandu dalam menguruskan logistik pengambilan dan penghantaran di lokasi yang berbeza-beza.

“NeHDA juga melihat saranan menteri akan menjadi “indah khabar dari rupa” sekiranya eHO terus dibiarkan mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan algoritma harga.

“Kerajaan tidak boleh hanya memberi galakan tanpa penguatkuasaan agresif melalui Akta 872 bagi memastikan eHO tidak mengeksploitasi dasar ini untuk mengaut keuntungan atas titik peluh pemandu,’’ katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menggesa syarikat e-hailing memperluas konsep “car pool” sebagai langkah segera membantu pengguna berdepan kos bahan api yang semakin meningkat.

“Ini sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan kadar segera kerana sebelum ini memang telah ada pembuktian konsep (PoC) yang dijalankan dengan beberapa syarikat e-hailing.

“Jadi, ini merupakan contoh yang kita harap dapat memberikan satu teladan kepada semua pihak dan agensi bahawa dalam menghadapi krisis kita mesti mengambil satu langkah yang proaktif,’’ kata Loke.

Berikutan itu, NeHDA berkata, bagi memastikan inisiatif berkenaan memberi impak positif dengan situas menang-menang, pihaknya mendesak kerajaan campur tangan dalam menetapkan harga lantai supaya pemandu tidak dibayar pada kadar yang tidak munasabah di bawah alasan “fleksibiliti”.

Selain itu, kata NeHDA, eHO perlu telus dalam pembahagian komisen bagi setiap perjalanan carpooling dan lain-lain kaedah dengan mematuhi sepenuhnya garis panduan Akta 872 yang telah wartakan.

“Meneliti bantuan khusus seperti insentif pengurangan kadar premium insuran eHailing atau rebet untuk pembelian alat ganti kenderaan kepada pemandu yang menyokong inisiatif hijau dan kongsi kenderaan ini,’’ katanya.

Tanpa mekanisme kawalan yang jelas, NeHDA berkata, komuniti pemandu akan terus terhimpit di bawah tekanan ekonomi.

“Kami sedia untuk berdialog dengan pihak Kementerian bagi memastikan suara akar umbi didengar sebelum sebarang dasar baharu dilaksanakan secara meluas,’’ katanya. – 9 April, 2026

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

We never ask for personal user data from telcos under MPD initiative: MCMC

Deputy managing director explains that all mobile data is anonymised at the telco level, with no names, IC numbers or addresses ever collected or stored by the commission

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

Related