◉ HEADLINES

Saman fitnah RM5 juta Dzulkefly terhadap Najib selesai

8:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2022 berhubung dakwaan nepotisme dalam hantaran Facebook berkaitan pelantikan anaknya ke sebuah badan amanah berkaitan kerajaan telah selesai.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, memaklumkan perkara tersebut kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mahazan Mat Taib dan berkata anak guamnya juga telah menyediakan satu kenyataan selepas berbincang dengan Dzulkefly.

Najib kemudian membacakan kenyataan itu.

“Saya mengambil maklum bahawa aduan beliau (Dzulkefly) di mahkamah ialah hantaran saya telah ditafsirkan seolah-olah memberi gambaran beliau mengamalkan nepotisme berhubung pelantikan anak perempuannya, iaitu Puan Nurul Iman ke Lembaga Pengarah AIM Solutions Group Bhd pada 30 April 2018 dan Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 1 Okt 2018.

“Saya menerima fakta bahawa beliau tidak terlibat dalam pelantikan itu dan tiada unsur nepotisme di pihak beliau.

“Saya ingin menjelaskan bahawa hantaran itu bukan bertujuan untuk memfitnah beliau, juga tidak bertujuan untuk membayangkan plaintif korup atau terlibat dalam nepotisme dan kronisme.

“Sebaliknya, ia bertujuan untuk mengetengahkan persepsi wujudnya dwistandard dalam kalangan parti politik.

“Hantaran itu telah disiarkan pada waktu berkenaan dalam kapasiti dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen.

“Maksud dan tujuan sebenar hantaran itu ialah sebagai komentar politik umum mengenai isu lebih luas berkaitan tadbir urus, pentadbiran serta pelantikan ke entiti berkaitan kerajaan, yang juga perkara yang sedang menjadi wacana awam dan perbahasan politik.

“Walaupun hantaran saya bersifat komentar politik, saya mengakui kesulitan yang timbul kepada beliau serta keluarganya, dan perkara itu bukanlah niat saya.

“Demi semangat untuk terus melangkah secara konstruktif, saya mendoakan agar Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terus berjaya menabur khidmat kepada rakyat dan negara, serta merakamkan setulus ikhlas doa dan harapan terbaik buat beliau dan keluarganya,” kata defendan berusia 73 tahun itu.

Sejurus selepas Najib membacakan kenyataan itu, peguam Stanley Sebastian Sinnappen yang mewakili Dzulkefly memaklumkan mahkamah bahawa tiada lagi relif yang akan dimohon dan kes tersebut tidak akan diteruskan.

Pada akhir prosiding, Mahazan merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak kerana berjaya mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara itu.

“Masa mahkamah ialah sumber awam yang amat berharga, dan kedua-dua pihak digalakkan untuk mempertimbangkan penyelesaian secara serius apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Perbicaraan kes itu, yang bermula Selasa lepas, menyaksikan Dzulkefly menyelesaikan keterangannya semalam, dan hari ini peguam Najib dijadual menyoal balas Nurul Iman.

Dzulkefly memfailkan saman terhadap Najib pada 31 Dis 2021 berhubung hantaran Facebook bekas perdana menteri itu yang mendakwa plaintif mengamalkan nepotisme bagi memastikan pelantikan anak perempuannya Nurul Iman sebagai ahli lembaga AIM.

Beliau mendakwa hantaran fitnah itu diterbitkan dengan niat untuk memalukan dirinya selain bermotifkan politik bagi menjejaskan reputasinya.

Najib dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 29 Mac 2022 menyatakan hantaran berkenaan tidak ada kena-mengena dengan Dzulkefly sebaliknya merujuk kepada gabungan parti dalam Pakatan Harapan. – 9 April, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Four Malaysia Airlines flights cancelled, two more diverted amid heightened US-Iran tensions

Destinations involved were Doha and Jeddah following flight advisory on airspace risks, governments issue travel warnings to avoid Iran

◉ Related