HEADLINES

Umat Islam perlu buat perancangan rapi ketika berdepan konflik Asia Barat: khutbah

Khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mengupas mengenai krisis di Asia Barat dan menggalakkan umat Islam supaya membuat perancangan rapi termasuk mengelakkan pembaziran serta menguruskan kewangan dengan berhemah

5:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Konflik peperangan yang sedang berlaku di Asia Barat amat memberi kesan kepada semua justeru umat Islam perlu memandang serius tentang perkara itu dan membuat perancangan rapi bagi menghadapi sebarang kesan buruk.

Perkara berkenaan ditegaskan dalam khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menerusi tajuk ‘Hadapi Musibah Dengan Kesabaran’.

Menurut kupasan khutbah berkenaan, peperangan mencetuskan inflasi dan kenaikan kos sara hidup yang menghimpit semua pihak dan krisis global yang meruncing ini telah mengganggu ekosistem bekalan minyak dunia.

Ia, katanya, memaksa kerajaan menanggung kos subsidi bahan api yang sangat tinggi justeru umat Islam digesa mengambil iktibar daripada kebijaksanaan Nabi Yusuf A.S. dalam merancang ekonomi negara.

“Perancangan ekonomi berasaskan wahyu ini bukan sekadar cerita dongeng sebelum tidur, tetapi ia adalah satu pelan kecemasan untuk perancangan kewangan kita pada hari ini.

“Ia mendidik kita tentang erti menabung dan mengurus risiko dan amaran untuk kita mula memotong perbelanjaan yang tidak perlu, mendisiplinkan diri untuk berjimat cermat dan menyimpan wang ketika waktu kita masih ‘senang’, sebagai payung tempat kita berlindung apabila tibanya waktu sesak kelak,’’ kata kandungan khutbah berkenaan.

Sebagai iktibar, khatib menyimpulkan beberapa perkara iaitu Islam ialah agama damai dan sejahtera yang menganjurkan umatnya supaya sentiasa mencintai keamanan.

Selain itu, umat Islam hendaklah menguruskan kewangan secara berhemah dan memandangkan krisis geopolitik ini mencetuskan masalah ekonomi maka umat Islam diseru menghentikan sikap membazir dan amalan bermewah.

“Jadikan perancangan ekonomi Nabi Yusuf sebagai panduan kita dan selain itu marilah kita meneguhkan iman dan memperbanyak amalan,’’ katanya.

Menurut kandungan khutbah berkenaan, sesungguhnya pergolakan yang sedang berlaku ini jika dipandang dari sudut positif merupakan ujian buat orang-orang yang beriman.

Dalam menghadapi suasana yang penuh dengan kekeliruan dan lambakan maklumat, umat Islam digesa menjauhi fitnah serta mengamalkan sikap tabayyun dengan menyelidiki setiap berita sebelum disebarkan agar tidak menjadi punca perpecahan. – 10 April, 2026

Topics

 

Hangat

KWAP duped in RM200m eFishery scam, Anwar confirms

Prime Minister Anwar Ibrahim says the RM200 million eFishery investment was a deliberate fraud, prompting lawsuits, fund recovery efforts and tighter controls to protect civil service pensions

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related